Tuesday 31 January 2012

KEKAL MEWAH GAGAL SELENGGARA JALAN TENOM

Oleh : THAMPAREQ KITOES

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Tenom, Datuk Ribin Balang meminta agar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman campur tangan mengatasi masalah kedaifan jalanraya di kawasan luar bandar yang semakin serius akibat kecuaian kontraktor.

Walaupun beberapa gesaan telah ditujukan kepada pihak berwajib, khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi penyelenggaraan jalan, Kekal Mewah Sdn.Bhd, namun masalah tersebut terus berkekalan.

Katanya, malang sekali berdasarkan alasan alasan kedua-dua pihak terbabit kepada para JKKK dan Ketua Kampung ketika membuat aduan; kononnya mereka sukar melaksanakan tugas dan tanggung jawab itu disebabkan mereka hanya mempunyai satu mesin sahaja.

"Saya sendiri sudah berjumpa dengan Pengarah JKR Sabah atau Jurutera mereka secara bersemuka dan menjelaskan keadaan sebenar kedaifan jalanraya yang di hadapi penduduk di Parlimen Tenom dan meminta mereka menangani masalah itu dengan serius, namun sekadar melepas batuk di tangga," kata beliau kepada Sabahkini.net selepas pelancaran pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Seri Antanom, Tenom.

Rubin yang juga Adun Kemabong dan Pengerusi Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) berkata demikian sebagai menjawab rungutan beberapa JKKK dan Ketua Kampung yang mengemukakan masalah kedaifan jalanraya di kawasan luar bandar kepada beliau, setelah kerosakan jalan berkenaan semakin serius disebabkan kegagalan JKR dan syarikat konsesi melakukan penyelenggaraan mengikut jadual yang tepat.

Katanya, sejurus laporan dan aduan para JKKK dan Ketua Kampung berhubung kedaifan jalanraya diterimanya, beliau telah melakukan aktiviti turun padang memantau sendiri aduan-aduan tersebut dan ternyata semua aduan itu adalah benar.

“Kita tidak mahu melihat masalah jalanraya di Binsilon-Tumantalik, keadaannya berterusan sedangkan saya berulangkali menyuarakan masalah itu. Malah ketika Persidangan DUN Sabah, meminta JKR melakukan sesuatu yang terbaik untuk menangani masalah kedaifan jalanraya di situ, termasuk juga masalah jalanraya di Rundum yang memerlukan tindakan pembaikan dengan kadar segera. Malangnya kita tidak faham kenapa masih tertangguh lagi,” jelas Rubin.

Yang terbaru, kata Rubin, beliau telah mengemukakan masalah itu kepada Timbalan Perdana Menteri semasa perjumpaan beliau dengan pemimpin-pemimpin BN Sabah dan meminta agar kerajaan BN mempercepatkan kerja pembaikan dan penyelenggaraan jalan seraya meminta JKKK dan Ketua Kampung agar bersabar.

Tambahnya lagi, beliau kesal kerana rakyat mempersalahkan kerajaan BN dengan pelbagai tuduhan negatif hanya kerana disebabkan kelalaian agensi-agensi yang gagal bertanggung jawab dalam tugasannya sehingga mencemarkan nama baik Kerajaan BN.

No comments:

Post a Comment