RASMI.....Azizah yang diiringi Ag Anak bersalaman dengan penduduk sebaik tiba untuk merasmikan majlis penutupan JJM KRT Daearah Beaufort peringkat Dun Klias di Balai Raya Kg Mapait Klias Baru, Beaufort.
Oleh : ABU BAKAR ESAH
GENERASI muda perlu menyedari bahawa mandat melakukan perubahan terpikul dibahu mereka untuk menentukan corak masa depan negara.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Azizah Mohd Dun berkata generasi muda mesti mempunyai kekuatan ilmu dan daya kepimpinan serta jati diri bangsa bagi memastikan pembangunan dan kemakmuran negara dapat dipertahankan dan dapat dinikmati generasi masa depan secara berterusan.
“Sebagai generasi muda hari ini, anda semua mestilah memperlengkapkan diri dengan ilmu dan daya kepimpinan yang secukupnya demi memastikan kesinambungan pembangunan dan kemakmuran negara masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Jelajah Jiran Muda (JJM) Rukun Tetangga (RT) Daerah Beaufort peringkat Dun Klias di Balai Raya Kg Mapait Klias Baru di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pegawai Perpaduan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Daerah Beaufort, Awang Anak Ab Sani, Ketua Daerah Dun Klias, Wong Samie dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kg Klias Baru, Jusri Tapah.
Pada program sehari anjuran JPNIN Daerah Beaufort dengan kerjasama Jawatankuasa Permuafakatan RT Beaufort itu disertai 100 jiran muda dari KRT kawasan Dun Kias.
Konvoi bermotosikal yang bertolak dari Kg Mempagar mulai jam 9.30 pagi menjelajah ke KRT Limbawang, Kelabu Bersatu, Rancangan Klias, Kebatu/ Kebajang, Kukut, Taman Wawasan, Pekan Beaufort dan KRT Kg Bekalau sebelum berakhir di KRT Klias Baru pada upacara penutupan.
Azizah yang juga Adun Klias itu berharap agar semua KRT di negeri ini bergerak aktif bagi memastikan objektif penubuhan KRT dapat dicapai.
“Justeru itu saya amat berharap semua ahli jawatankuasa KRT di negeri ini dan di kawasan Dun Klias ini memahami tujuan dan objektif penubuhan KRT bagi memastikan pelbagai program dapat diadakan bagi memenuhi keperluan masyarakat khususnya dalam konteks perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan negara,” katanya.
Sehubungan itu juga, beliau menyeru agar KRT dapat menjalankan kerjasama dengan semua pihak seperti pemimpin masyarakat dan jabatan kerajaan atau badan-badan sukarela yang lain sebagai usaha memantapkan semangat kerjasama di kalangan penduduk setempat.
“Kerjasama erat ini adalah satu keperluan besar bagi menentukan kualiti kejayaan sesutau program yang dianjurkan kerana tanpa kerjasama yang jitu ia tidak dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya.
Sementara itu Ag Anak berkata program itu bertujuan memberi kefahaman tentang peranan dan tanggungjawab sebagai Jiran Muda (JM) di peringkat RT.
“Melalui jelajah ini juga kita berusaha menarik JM agar tidak terjebak dengan aktiviti kurang sihat dan sebagai menghantar mesej ke semua KRT yang mempunyai JR tersebut menanam semangat bantu membantu, kesukarelawanan dan tidak mengamalkan sikap tunggu dan lihat."
BERTUAH......Pengunjung bertuah menerima hadiah periuk nasi elektrik daripada Azizah sambil disaksikan Ag Anak.
Program itu juga katanya, adalah untuk memberi peluang kepada JR untuk bersama pemimpin di peringkat Parlimen dan Adun serta kepimpinan KRT setempat dalam usaha memupuk kejasama di semua peringkat kepimpinan.
“Dan yang paling penting sekali ialah program ini mampu menjadi wadah meningkatkan perasaan muhibbah dan jati diri unggul di kalangan generasi muda,” katanya dalam ucapan alu-aluannya.
Pada majlis itu Azizah menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM3,000 dan mesin rumput untuk kegunaan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kg Klias baru kepada Guru Besarnya, Nurhain Mallin.
Azizah yang menyaksikan penyerahan Takwim KRT 2012 oleh Ag Anak kepada Jusri itu turut menyampaikan hadiah cabutan tiket bertuah dan bendera Barisan Nasional kepada pengerusi JKKK untuk empat kampung berhampiran.
No comments:
Post a Comment