Friday, 27 January 2012

LAJIM BAKAL BUAT KEJUTAN?

Oleh : KREW SABAHKINI.NET

TINGGAL kurang 24 jam lagi Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Okin dijangka akan membuat pengumuman penting berhubung kedudukannya di dakam UMNO dan Kerajaan.

Menurut maklumat dalaman yang diterima daripada para penyokongnya, Lajim djangka akan menjelaskan pendiriannya sama ada untuk kekal di dalam UMNO atau memimpin Sabah People Front (SPF) atau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Walaupun Sabahkini.net menerima laporan bahawa Lajim telah memasang bendera SPF di sepanjang jalan menuju ke rumahnya di Beaufort, namun tinjauan Krew Sabahkini.net mendapati maklumat berkenaan hanya khabar angin kerana tidak ada bendera SPF atau parti lain di sepanjang jalan, mahupun di rumahnya; tetapi dipercayai lebih sepuluh guni bendera SPF di simpan di bilik stor rumahnya.

Bagaimanapun penyokong Lajim memaklumkan bahawa esok (28 Januari 2012) Lajim tetap akan mengumumkan pendiriannya bagi mengakhiri tekanan dan syak wasangka terhadapnya selama ini.

Sebelum ini, Krew Sabahkini.net dapat mengesan ada perjumpaan sulit antara Lajim dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mematerai perjanjian persefahaman; namun butir perjanjian berkenaan belum dapat disahkan; tetapi PKR dan pemimpin Pakatan Rakyat telah 'diarah' agar tidak menjadikan Lajim sasaran serangan politik.

Setakat ini dalam beberapa perjumpaan dengan pemimpin Pakatan Rakyat, Lajim hanya bersendirian dan tidak membawa mana-mana penyokongnya, melainkan pegawai kanannya sehingga menimbulkan prejudis di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat di Sabah.

"Kita tahu siapa dia. Dia hanya mahu selamatkan dirinya, tetapi kita bukan bodoh dengan lakonannya," kata seorang pemimpin Pakatan Rakyat yang menyifatkan Lajim adalah upahan UMNO untuk memecahkan Pakatan Rakyat dari dalam.

No comments:

Post a Comment