Sunday, 29 January 2012

UMNO REALISASI PELAN PEMBANGUNAN SUKAU

REPLIKA...Saddi kelihatan menyampaikan Replika Cek BR1M RM500.00 kepada salah seorang penerima.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman berkata penduduk kawasan pesisir pantai di DUN Sukau bakal menikmati bekalan air bersih apabila projek penyaluran air melalui kabel dasar laut daripada bandar ini ke Kampung Tanjung Aru bakal siap pada pertengahan tahun ini.

“Projek yang menelan kos pembinaan RM20 juta ini sedang dalam pembinaan dan kerja-kerja akhir sudah pun mencapai 80 peratus untuk disiapkan," jelasnya.

Beliau berkata, sebagaimana komitmen padu kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa membela nasib rakyat terutama sekali penduduk di luar bandar maka sudah pasti keperluan penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai Sukau akan dapat diselesaikan segera.

Katanya, bukan sahaja keperluan dari segi bekalan air akan dapat ditampung sepenuhnya, tetapi pihak kerajaan juga sedang berusaha menyalurkan kemudahan elektrik untuk dinikmati penduduk setempat terutama golongan nelayan.

"Projek penyaluran bekalan air melalui dasar laut dari bandar Sandakan ke Kampung Tanjung Aru kini 80 peratus sudah siap, manakala beberapa lagi program pembangunan yang sedang kita rancang termasuk usaha penyediaan bekalan elektrik 24 jam untuk dinikmati semua penduduk kawasan pesisir pantai Sukau ini," jelasnya.

Saddi berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Penyampaian Baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat DUN Sukau yang berlangsung di Dewan Sri Libaran, Sandakan, kelmarin.

Menurut beliau, pelbagai perancangan ekonomi bersepadu sedang dilaksanakannya kerana mahu melihat pembangunan kawasan tersebut seiring dengan kemajuan arus perdana, sebagaimana termaktub dalam kerangka pelan pembangunan bagi merealisasikan matlamat mencapai status Pekan Baru Sukau.

Ujarnya, perancangan yang dilakukan secara teliti ini boleh berjaya asalkan semua pihak berganding bahu dan memberikan komitmen padu untuk memastikan matlamat tercapai seperti yang dirancangkan.

"Saya selalu menyarankan kepada penduduk Sukau ini khususnya barisan pimpinan supaya sentiasa berganding bahu dan bekerjasama dalam apa pun perkara. Ini kerana, kita perlu bersatu padu untuk memastikan setiap yang dirancang akan terlaksana.

"Oleh itu, di sini saya ingin menasihatkan kepada penduduk Sukau agar tidak terpengaruh dengan segala dakyah-dakyah yang disebarkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mengelirukan pemikiran rakyat," tambah beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau menyelar sikap pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memesongkan pemikiran rakyat dengan melemparkan pelbagai dakyah yang mengelirukan semata-mata untuk kepentingan diri.

Saddi mengulas dakwaan sesetengah pihak khususnya pembangkang yang mendakwa konon pemberian BR1M adalah bagi memancing undi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-13 nanti.

Katanya, pembangkang tiada lagi isu yang ingin dibangkitkan melainkan suka menabur pelbagai dakyah mengelirukan semata-mata mahu meraih sokongan politik murahan mereka.

"Mereka silap sebenarnya. Sebelum ini pun kerajaan BN telah memberikan bermacam-macam bantuan untuk rakyat tanpa mengira fahaman politik, suku bangsa mahupun anutan agama.

"Ia bukanlah ole-ole menjelang PRU yang ke-13, sebaliknya atas keprihatinan kerajaan BN kepada rakyat selaras dengan agenda tradisi membela rakyat berdasarkan konsep Gagasan 1Malaysia," ujarnya.

Pada majlis itu, seramai 736 orang penerima yang kebanyakannya menetap di kawasan pesisir pantai Sukau termasuk juga di bandar Sandakan menerima baucer BR1M untuk fasa kedua ini.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Kinabatangan, Arisin Aripin; Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sukau, Sahrin Hj Abdul Rahman dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan, Matmin Etin.

No comments:

Post a Comment