Friday 27 January 2012

'AMANAH' PEMEGANG AMANAH RAKYAT SABAH?



Oleh : HAJI GHULABDIN ENJIH

ANGKATAN Amanah Merdeka Malaysia (AMANAH) adalah merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat kelulusan pendaftarannya pada pertengahan tahun lalu, mempunyai tanggungjawab dan peranan sebagai satu lagi medium kepada rakyat untuk mengetengahkan pelbagai keluh gelisah mereka kepada pihak yang berwajib agar mendapat perhatian serta pembelaan sewajarnya.

Demikian kata Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing menyatakan demikian ketika melancarkan Ranting AMANAH di Kawasan Dewan Undangan Negeri Sulaman,Tamparuli dan Kiulu bertempat di Hotel Tang Dynasty, Berungis, Tuaran baru-baru ini.

Bumburing yang juga Timbalan Presiden AMANAH kebangsaan menyatakan bahawa perjuangan AMANAH adalah untuk mengetengahkan suara hati nurani rakyat agar dapat didengari oleh pimpinan kerajaan khususnya yang mencakupi pembelaan terhadap nasib rakyat tempatan yang masih memerlukan perhatian dari pihak berwajib.

AMANAH akan memastikan pelbagai rungutan dari akar umbi dapat diambil perhatian yang serius untuk membolehkan tahap kehidupan rakyat rakyat berbilang kaum di negeri ini seimbang dengan bangsa lain berasas kepada prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan yang diaplikasikan kerajaan kepada rakyat keseluruhannya.

"Perjuangan untuk membela nasib rakyat bukan sekadar bergantung kepada peruangan parti-parti politik sahaja, sedangkan melalui medium politik suara pimpinannya tidak mungkin dapat diketengahkan lebih kerap kerana batas-batas yang begitu terhad untuk melakukannya, namun melalui Badan Bukan kerajaan (NGO) seperti AMANAH segala degup resah gelisah rakyat akan dapat di sampaikan lebih terbuka berdasarkan kepada undang-undang dan perlembagaan negara yang mengamalkan sistem demokerasi dan kebebasan bersuara," kata Bumburing yang juga Pengerusi AMANAH Negeri Sabah.

Majlis Pelancaran AMANAH bagi Sulaman, Tamparuli dan Kiulu turut dihadiri oleh Pengerusi AMANAH Kawasan Parlimen Tuaran, Datuk Monggoh Orow; Timbalan-Timbalan Pengerusi AMANAH Tuaran, Francis Soon dan Haji Jamling Ghani; Naib Pengerusi, Fairuz Bandar; Setiausaha AMANAH Tuaran, Irose Leecyous Jani; Ketua Penerangan AMANAH Kawasan Tuaran, Haji Awang Puasa Jambul; Pengerusi Ranting Kawasan Sulaman,Haji Ghulabdin Enjih; Pengerusi Ranting Kawasan Tamparuli, Thony Julian dan Pengerusi Ranting Kawasan Kiulu, David Yaw.

"Selain dari menyuarakan permasalahan rakyat, AMANAH juga akan memberikan perhatian terhadap meningkatkan pendidikan dan ilmu pengetahuan terutama dalam konteks pembangunan negara bangsa selaras dengan kesedaran bahawa tanpa ilmu rakyat tidak boleh bersaing untuk mendepani masa hadapan yang lebih mencabar," kata Bumburing yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Beliau juga memberitahu AMANAH akan menyampaikan teguran dan pandangan berdasarkan kepada fakta serta bertanggungjawab terhadap sebarang kenyatannya, ini dilakukan kerana AMANAH mendukung teguh kemuliaan institusi perpaduan dan nilai-nilai murni secara kolektif.

"Atas kesedaran bahawa pergeseran kaum boleh melemahkan bangsa, maka AMANAH akan bersama-sama untuk memantapkan kekukuhan ahli keluarga besar yang sejati di negara ini serta sentiasa menanamkan keikhlasan dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan bagi masa hadapan bersama rakyat pelbagai kaum di dalam negara merdeka ini," kata Bumburing lagi.

Terdahulu dalam kenyataannya Ketua Penerangan AMANAH Kawasan Tuaran, Haji Awang Puasa Jambul memberitahu sambutan untuk menjadi ahli AMANAH di Tuaran begitu baik sekali dan beliau berterima kasih kepada rakyat pelbagai kaum di daerah ini yang ingi menjadi ahli di ketiga-tiga ranting Sulaman, Tamparuli dan Kiulu.

Beliau berharap dengan pelancaran tiga ranting di Kawasan Tuaran akan menarik lebih ramai lagi masyarakat tempatan memberikan sokongan dan masuk untuk menjadi ahli AMANAH bagi menjayakan perjuangan untuk menyuarakan serta mengetengahkan pelbagai masalah rakyat dan akan dapat menjayakan lagi perjuangan rakyat dengan lebih teratur dan tertib.

No comments:

Post a Comment