Monday 16 January 2012

ALBUM BARU ‘NG TUMULAI SASANDUKON’ DI PASARAN


ALBUM….Pakiak bersama dengan kulit album Ng Tumulai Sasandukon Vol.2.

Oleh : KENINGAU PRESS

SAMBUTAN hangat album terdahulu memberi dorongan kepada sekumpulan anak muda yang menamakan diri mereka sebagai Ng Tumulai Sasandukon tampil kembali dengan album MTV Karaoke Ng Tumulai Sasandukon Vol2.

Album MTV Karaoke lagu Murut ini menampilkan gabungan 5 artis tempatan dari Sepulut, Salong dan Sasandukon dalam Daerah Kecil Pagalungan, Nabawan .

Boleh dikatakan lagu-lagu Murut mempunyai pendengar yang ramai terutamanya di kawasan pedalaman. Malahan lagu-lagu Murut juga mampu menembusi pasaran ke Indonesia seperti mana yang pernah dikecapi oleh artis Murut dari Sepulut, pasangan suami isteri Marais Palanuk dan Molly Sikin.

Maka tidak hairanlah para pejuang lagu-lagu Murut terus berkarya kerana album yang dihasilkan sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan. Sudah tentulah dengan sokongan dan dorongan dari para penggemar lagu tempatan memberi suntikan semangat untuk terus berkarya dan memberikan yang terbaik.

Ng Tumulai Sasandukon Vol 2 adalah satu lagi produk terbaru karya lagu berbahasa Murut yang kini turut mewarnai dunia hiburan khususnya di kawasan pedalaman.

Ng Tumulai Sasandukon dianggotai oleh Angila Bako (finalis carta lagu Murut Sabah Vfm) , Nglinah Piliton, Pakiak Andingos, Kenny Asok dan Enish Malinta. Masing-masing mempunyai pengalaman tersendiri dalam bidang nyanyian dan dikenali di Nabawan.

Kehadiran MTV karaoke ini merancakkan lagi dunia hiburan lagu lagu tempatan. Lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini ialah Nasimpungan To (Ngalinah & Pakiak),Pansuayan (Ngalinah), Bonsoyo Nahumbungan To (Angila), Tovon Nansuayan (Pakiak), Ratangan No Lango (Enish), Asokol Ampuaya (Kenny), Nampiratan To (Ngalinah), Angapu Ra orou Nahambayan (Angila), Embu Nu Lumbio (Pakiak) dan Pembalan Ra Mambulok (Ngalinah).

Manakala lokasi penggambaran bagi karaoke ini ialah di kawasan menarik di Kota Kinabalu, Keningau Papatr, Tenom dan Tambunan. Album ini diterbitkan oleh Angelinah Piliton yang berasal dari Kampung Sasandukon. Turut menyanyi di dalam album ini.

Lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini terdiri dari pelbagai rentak seperti cha cha, sumazau dan sentimental.

Sebuah lagu lama yang pernah popular pada tahun 1990an bertajuk ‘ embu nu lumbio’ atau Rumah atap Bambu turut dinyanyikan semula atas permintaan ramai peminat lagu ini, yang mengamit kenangan di masa lalu.

Jurucakap kumpulan ini, Pakiak Andingos, 40 berkata, sokongan dari para peminat lagu-lagu tempatan adalah amat dihargai.

“Kepada pendengar lagu-lagu tempatan, terimalah kami dan berilah sokongan kepada MTV Karaoke ini yang kini telah berada di pasaran,” kata Pakiak.

Katanya, beliau selaku jurucakap kumpulan Ng Tumulai Sasandukon mengharapkan para peminat lagu-lagu Murut tanpa mengira kesukuan (Murut) memberikan sokongan diatas kemunculan album tersebut.

Begitu juga dengan kawan-kawan dari suku lain agar memberikan sokongan kepada lagu-lagu Murut.

“Sama-sama memberikan sokongan antara satu sama dengan yang lain tanpa mengira suku kaum apa yang penting produk tempatan, dan kita lebih memahami antara satu dengan lain,” kata Pakiak.

Ketika beliau ditanya tentang persepsi yang mengatakan kebanyakan lagu-lagu Murut adalah lagu yang kecewa, beliau menafikan .

“Pada hakikatnya ia tidak sebegitu, bangsa Murut adalah bangsa yang periang, “ kata Pakiak.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan album ini atau ingin berhubung kepada kumpulan ini bolehlah menghubungi ketua kumpulannya, Angelinah Piliton (HP 0195330656).

Pakiak berkata dengan adanya siaran bahasa Murut di Radio Sabah VFM dan Keningau FM memberi ruang kepada banyak artis tempatan mempersembahkan bakat mereka. Selain dari itu kata Pakiak mereka juga berharapan agar produk itu juga dapat menembusi siaran Astro 180 yang banyak menampilkan lagu-lagu tempatan dari Sabah.

No comments:

Post a Comment