Monday 16 January 2012

BELIA TERABAI RUGIKAN NEGARA

Oleh : ABU BAKAR ESAH

TERIMA....Belia Kampung Rancangan Klias menerima mesin 'air compressor' yang disampaikan Azizah.

Membiarkan tenaga belia terabai dan hanyut dalam arus semasa akan merugikan masa depan negara.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata jika belia dan golongan muda rosak dan hidup tanpa arah tuju yang baik, maka itulahngambaran masa masa depan negara.

“Jika jiwa mereka rosak, maka rosaklah mereka ketika mengambil alih peranan yang dimainkan oleh golongan yang lebih senior,” katanya

Lantaran itu katanya dalam menjadikan belia sebagai agen transformasi negara, sesuatu perlu dilakukan sebagai pengisian yang menyediakan keperluan dan kehendak yang menepati ciri dan budaya bangsa dan negara Malaysia.

“Sesuatu program yang berkesan agar para belia dapat memiliki kekuatan dan dinamika juga citra sendiri sesuai dengan lingkungan Agama, budaya, sosial, ekonomi dan politik masyarakatnya,” katanya ketika merasmikan Program Tranformasi Belia Beaufort 2012.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Sabah, Sharulnizam Pegawai Belia dan Sukan Sabah, Daerah Beaufort, Nordin Ismail, Pegawai Belia dan Sukan (Persekutuan), Pedalaman Bawah, Norman Ramlan dan Presiden Persatuan Belia Beaufort, Zulkarnain Abdullah.

Program yang dianjurkan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias itu merupakan kesinambungan bagi program-program transformasi yang terdahulu.

Pelbagai jabatan dan agensi telah di datangkan khas untuk memberi informasi mengenai peluang-peluang perniagaan seperti Jabatan Pertanian, MARA, Mardi dan sebagainya.

Azizah yang juga Adun Klias turut mengajak agar golongan belia menyemarakkan kembali semangat kesukarelawan bagi memacu daya tenaga serta idealisme golongan belia itu sendiri.

“Taburlah khidmat bakti dengan penuh keikhlasan kerana wang ringgit tidak akan kekal namun budi baik yang tetap dikenang. Di samping itu nilai murni yang diserapkan melalui kerja-kerja kesukarelawan itu sebenarnya memupuk kendiri yang hebat sebagai asas jati diri belia.

“Melalui aktiviti sukarelawan, nilai kekuatan dan semangat kesatuan, kerjasama, kepimpinan, ditambah lagi dengan rasa bertanggungjawab, belas, jujur dan ikhlas sesungguhnya dapat membentuk keperibadian belia yang unggul,” katanya

Azizah mempegerusikan sesi dialog pada program itu, menambah kerajaan mengiktiraf dan menyedari peranan belia sebagai badan sokongan terpenting bagi merealisasikan gagasan murni kerajaan melalui usaha-usaha transformasi masyarakat seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transforasi Ekonomi Negara dan juga Model Ekonomi Baru (NEM).

Namun begitu tegasnya, usaha transformasi ini bukan sesuatu yang mudah kerana ia menuntut usaha bersepadu dari semua pihak sama ada kerajaan, swasta ataupun badan NGO kerana cabaran yang mendepani masyarakat khususnya belia juga amat kompleks dan rumit.

“Kita masih dibelenggu oleh isu-isu yang berkaitan sosial, ekonomi dan politik yang kadangkala boleh merencat atau menjejaskan usaha-usaha pembangunan masyarakat.

“Berpaksikan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, saya percaya golongan belia akan terus memacu Negara ke hadapan,” katanya.

Pada majlis itu Azizah turut menyampaikan bantuan mesin Air Compressor kepada belia Kampung Rancangan Klias serta baju dan peralatan sukan kepada persatuan belia.

No comments:

Post a Comment