Sunday 1 January 2012

TAHUN NAGA BAWA TUAH BAGI SABAH



Oleh : NEWMOND TIBIN

Sabah, di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, bukan sahaja sudah bersedia untuk menikmati keberuntungan dalam tahun-tahun akan datang malah ia juga berada pada kedudukan kewangan yang kukuh, dengan pilihan raya umum awal dijangka diadakan dalam Tahun Naga.

Dengan pengurusan kewangan dan sumbernya yang cekap dan berhemah, Sabah berada di bawah kepimpinan selamat Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, pernah berkata pujian harus diberikan kepada Musa kerana menerajui negeri ini ke tahap yang lebih tinggi.

Salleh, yang juga yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, pernah berkata malah Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, memuji kedudukan kewangan Sabah dan memberikannya perakuan baik bagi 11 tahun berturut-turut.

"Dengan rizabnya melebihi RM3 bilion, ini bukan calang-calang pencapaian bagi pentadbiran negeri yang juga mendapat penarafan tertinggi ‘AAA’ daripada RAM Rating Services sejak tiga tahun lalu," kata seorang penganalisis.

Sabah juga memperoleh pensijilan ISO daripada Moody's International kerana pengurusan belanjawan negeri yang cekap dan wajar bagi tiga tahun berturut-turut.

Perlu juga ditegaskan bahawa laporan Ketua Audit Negara bagi tahun ini menunjukkan angka-angka sebenar yang mencerminkan pencapaian kewangan cemerlang negeri ini.

Salleh pernah berkata bahawa cetusan ilham Ketua Menteri, iaitu rangka tindakan ‘Halatuju’, telah berjaya membawa pembangunan positif ke negeri ini dan banyak faedah kepada rakyat.

Ini, serta kestabilan politik negeri ini, telah menjadikan Sabah destinasi yang amat kondusif bagi pelabur asing.

Musa, yang terkenal kerana mengubah nasib negeri ini sejak beliau mengambil alih tampuk kuasa pada 2003, meningkatkan prasarana dan meniupkan nafas baharu dalam jentera negeri yang lemah.

Beliau mengejutkan pembangkang apabila beliau mengumumkan belanjawan negeri yang sangat besar iaitu RM4.04 bilion bagi 2012, yang terbesar dalam sejarah Sabah selama 48 tahun.

Musa, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata perbelanjaan yang dianggarkan pada 2012 meliputi tiga komponen utama, iaitu emolumen (RM623.66 juta), perbelanjaan berulang (RM1.120 billion) dan perbelanjaan khas (RM2.303 bilion).

Beliau juga mengunjurkan perkembangan ekonomi negeri di antara 4.5 peratus dengan 5 peratus pada 2012.

Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Kiulu, Datuk Louis Rampas, berkata ekonomi Sabah yang kukuh dengan rizab yang membanggakan bakal menjadi ‘kelebihan’ bagi BN meskipun parti pemerintah itu mungkin menghadapi tugas berat dalam menghadapi barisan pembangkang kali ini.

Beliau berkata rakyat Sabah harus terus menyokong BN yang mempunyai rekod pencapaian yang terbukti dalam membela nasib rakyat, termasuk rakyat di pedalaman, dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam hubungan ini, beliau meminta parti-parti komponen BN di negeri ini berusaha keras dan berganding bahu untuk memastikan parti itu terus menjadi pilihan nombor satu rakyat.

No comments:

Post a Comment