Wednesday 4 January 2012

UPKO, PBS GEMBIRA, UMNO SOKONG RCI



PERTUBUHAN Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) menyambut baik pendirian Umno Sabah menyokong penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan diraja berhubung isu pendatang asing tanpa izin dan Projek IC yang berlarutan sejak sekian lama di Sabah.

Timbalan Ketua Penerangan UPKO, Sualim Gopog berkata keputusan Umno itu merupakan langkah penting ke arah menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin dan pertambahan luar biasa jumlah penduduk di Sabah.

"UPKO berharap pendirian terbaru Umno Sabah ini menandakan wujudnya komitmen padu parti pemerintah untuk memupuk integriti kepimpinan serta tadbir urus yang baik," katanya dalam kenyataan di sini.

Sualim mengulas pengumuman Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad di sini bahawa Umno negeri itu secara terbuka menyokong penubuhan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat dakwaan bahawa ada bukan warganegara mendapat kerakyatan Malaysia melalui cara yang meragukan.

Sualim berkata: "Bagi UPKO, presiden kami Tan Sri Bernard Dompok tidak jemu-jemu mambawa perkara itu ke peringkat persekutuan dan inisiatif terbaru beliau ialah untuk berjumpa (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) hari ini, 4 Januari.

Ketika mengalu-alukan langkah itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Kiulu, Datuk Louis Rampas berkata sokongan Umno terhadap penubuhan suruhanjaya itu amat bermakna bagi Sabah dan rakyatnya.

Louis, yang juga Ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Kiulu dan anggota majlis tertinggi PBS, berkata beliau berharap kerajaan persekutuan akan menubuhkan suruhanjaya berkenaan dengan secepat mungkin. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment