Sunday 23 September 2012

800,000 RAKYAT M'SIA KURANG UPAYA INTELEKTUAL




SERAMAI 800,000 penduduk daripada 28 juta populasi negara ini merupakan golongan kurang upaya intelektual, kata Presiden Special Olympics Malaysia(SOM) Datuk Muhammad Feisol Hassan.

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) sebanyak tiga peratus daripada populasi penduduk dunia mengalami masalah kurang upaya intelektual dan Sarawak mempunyai 75,000 golongan kurang upaya intelektual.

Beliau berucap di majlis perasmian Kelab Olimpik Khas di sekolah dan sambutan perayaan Hari Olimpik Khas Sibu di Sibu hari ini.

Muhammad Feisol berkata golongan kurang upaya dikategori kepada kurang upaya fizikal iaitu mempunyai kecacatan atau kekurangan bahagian anggota badan.

Manakala golongan kurang upaya intelektual pula merupakan mereka yang mempunyai tahap IQ yang di bawah tahap IQ pemikiran orang biasa.

"Keistimewaan golongan kurang upaya intelektual ini ialah mereka jujur dan tidak berbohong kerana sifat mereka yang bercakap secara terus terang," katanya.

Namun, beliau berasa kesal dengan sikap segelintir ibu bapa yang menyembunyikan anak-anak mereka yang mengalami kurang upaya intelektual daripada masyarakat luar kerana malu berhadapan dengan masyarakat.

"Ibu bapa seharusnya memberi sokongan kepada anak-anak mereka kerana golongan ini berhak diberi peluang pendidikan dan menunjukkan keupayaan mereka dalam pelbagai bidang.

Jelasnya lagi, "Bring the chidren out of the shadow into the sunshine" di mana ibu bapa harus mengikis sifat malu mereka untuk membawa anak-anak istimewa keluar daripada kehidupan terkurung dalam rumah.

"Melalui Olimpik khas ini, golongan kurang upaya intelektual ini akan didedahkan kepada cara kehidupan sebenar dan mempelajari kemahiran baru yang dapat membantu mereka menjadi insan yang lebih baik serta diterima oleh semua masyarakat.

Beliau memberi contoh kelas khas yang diaplikasikan dalam bentuk sukan lebih mudah dipelajari dan dihayati oleh pelajar istimewa ini seperti pengiraan nombor angka diterjemahkan dalam sukan. (Bernama)

No comments:

Post a Comment