Sunday, 30 September 2012

JANGAN TUDUH KERAJAAN BERSIFAT POPULIS




SEREMBAN : Pembentangan Belanjawan 2013 bukan langkah untuk membeli undi rakyat tetapi merupakan komitmen kerajaan untuk memakmurkan negara, kata Datuk Seri Najib Razak, kelmarin.

Justeru, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak harus dituduh bersifat populis kerana berjaya mencipta pelbagai kejayaan dan menunaikan janji yang diberi kepada rakyat.

Najib berkata pelbagai dasar dan perbelanjaan yang dilaksana untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi sehingga negara mampu mencatat perkembangan memberangsangkan ketika dunia berdepan kemelut ekonomi, merupakan antara kejayaan besar kerajaan selain penyenaraian FELDA Global Ventures Holding (FGVH) yang mencatat Terbitan Saham Awal (IPO) kedua tertinggi selepas Facebook.

“Ini kebanggaan kita, jadi kita tak boleh dituduh sebuah kerajaan yang bersifat populis. Kerajaan yang bersifat populis adalah kerajaan yang tidak bertanggungjawab, yang menjanjikan perkara-perkara yang tidak mungkin dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada majlis 'Jelajah Janji Ditepati' di Stadium Belia dan Sukan Paroi, di sini.

Kira-kira 12,000 anggota masyarakat dari seluruh pelusuk negeri  memeriahkan majlis itu yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor. Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan. (Bernama)

No comments:

Post a Comment