KUALA LUMPUR : Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata masanya hampir tiba apabila rakyat akan membuat pilihan
bagi menentukan masa depan mereka dan anak-anak mereka sambil menggesa rakyat
memberikan mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik
apa yang ada.
Perdana Menteri berkata
persoalan yang perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah sama ada kehidupan
mereka hari ini lebih baik berbanding semalam dan sama ada hari esok
menjanjikan harapan yang sarat dengan peluang serta potensi.
"Jika jawapannya ya,
maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan
dan menambahbaik apa yang ada," katanya ketika membentangkan Belanjawan
2013 berjumlah RM251.6 bilion di Dewan Rakyat, di sini, pada Jumaat.
Najib yang mengumumkan
bahawa Belanjawan 2013 sebagai yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13,
berkata ia merupakan antara siri-siri belanjawan yang akan mendorong negara
tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional.
"Sebagai parti yang
telah dimandatkan, kami menyeru rakyat menilai secara kritikal dan rasional
akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki oleh Barisan Nasional (BN). Kerajaan
BN dan sebelum itu perikatan telah selama 55 tahun mencipta kehidupan yang
lebih baik untuk rakyat Malaysia," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.
Beliau berkata hakikat
rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan BN sebanyak 12 kali tanpa putus
sejak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh kerajaan sedia ada
"Kita tahu ada pihak
yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan. Secara
berlapang dada, dalam sebuah negara yang demokratik, kita faham tidak salah
menawarkan diri, kerana mereka juga ada hak, namun pada akhirnya, rakyatlah
yang akan menentukan siapa akan mendapat mandat melalui peti undi," kata
beliau.
Sambil memetik madah
pujangga, bumi mana tak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak, Najib yang
juga Pengerusi BN turut mengakui bahawa kerajaan BN tidak bebas daripada
kekhilafan tetapi yang membezakan BN dengan pakatan pembangkang ialah mereka
tidak mempunyai ketawadu'an untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan
demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain.
Najib berkata pucuk
pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu dinilai catatan
rekod mereka.
"Kerana mereka bukan
tidak dikenali rakyat Malaysia. Malah, ada di kalangan mereka pernah
diamanahkan sebagai kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara. Tidak
cukup dengan itu, hari ini di beberapa negeri mereka juga mengepalai kerajaan.
"Kalau hari ini mereka
menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya, apabila kerajaan
berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak melaksanakan apa yang
dikokokkan.
"Hakikatnya, jika kita
berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan mereka
akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang," katanya.
"Bukankah apabila
berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini
dibuatnya?" kata beliau.
Katanya jika kini, di negeri-negeri
yang ditadbir mereka, apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun
masih tinggal janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan
kuasa.
"Ini berbeza dengan
kerajaan BN. Apabila berjanji, ditepati. Bahkan sebelum berjanji pun lagi, kita
bersikap bertanggungjawab, dengan menentukan sama ada janji itu boleh
ditunaikan atau tidak. Bukannya mengambil sikap asal menang, segala-galanya
sanggup dipertaruhkan. Sebaliknya bila menang, janji hilang entah ke
mana."
Najib berkata kerajaan BN
juga pada hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala
kepada rakyat sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan
terhadap segala masalah mereka.
Memetik kata-kata seorang
ahli falsafah Yunani "The measure of a man is what he does with
power" Najib berkata justeru pada hari ini, untuk berkuasa, ada sesetengah
pihak sanggup mengadu domba antara agama dan bangsa, sanggup menggadai
segala-galanya hatta prinsip sekalipun demi kerakusan kuasa.
Katanya kerajaan BN
dibimbing prinsip "fastabiqul khairat" seperti yang terkandung dalam
ayat al-Quran yang dibacanya di awal ucapannya, iaitu berlumba-lumba melakukan
kebaikan.
Beliau turut membidas sikap
pihak tertentu yang mencadangkan supaya keseluruhan hutang Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan dan menyifatkannya sebagai
perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, rakyat
Malaysialah yang akan terbeban menanggung lebih RM30 bilion hutang PTPTN.
Katanya pada hakikatnya
kerajaan BN adalah perintis kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan
nasional tetapi pihak lain yang ingin menjadi kerajaan merintis kekuatan
melalui konflik dan kebencian dan kerajaan difitnah serta dituduh semahunya.
"Maka, saya menyeru
rakyat Malaysia supaya menghakimi Kerajaan BN dengan amal perbuatan bukannya
retorik. Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan
segala potensi yang ada bagi membina sebuah negara yang boleh kita banggakan.
Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada
membantu, yang kuat melindungi, yang muda dikasihi, yang tua dihargai, yang
memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap.
"Sesungguhnya kita
mahukan Malaysia yang tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur
dan aman. Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah
ketidaktentuan global. Mudah-mudahan dengan izin-Nya dan sokongan padu rakyat,
kita bakal membina sebuah realiti dari impian. Kepada Allah kita
berserah," katanya mengakhiri ucapan pembentangan Belanjawan 2013 itu. (Bernama)
No comments:
Post a Comment