Sunday 30 September 2012

PELAJAR TINGKATAN TIGA LEMAS DI SUNGAI



MAYAT......Skuad penyelam Bomba menarik mayat mangsa yang ditemui beberapa meter daripada lokasi kejadian di sungai Kampung Biau, Papar kelmarin.

PAPAR: Keseronokan bermandi manda ketika pulang sekolah bertukar tragedi setelah seorang pelajar tingkatan tiga ditemui mati lemas di Sungai Kampung Biau, 15 kilometer dari pekan Papar.

Mangsa dikenali sebagai Gregory Janip,15, dari Kampung Kawari Papar dikatakan tergelincir dari tebing sungai sebelum hanyut dan hanya dapat ditemui jam 9.40 pagi kelmarin.

Terdahulu, sebelum kejadian berlaku mangsa bersama tiga lagi rakan sekolahnya telah pergi ke tebing sungai itu untuk mandi kira-kira jam 3 petang Jumaat lepas.

Panik melihat situasi itu, salah seorang rakan mereka telah bertindak untuk menyelamatkan mangsa sehingga hampir menyebabkannya lemas akibat arus deras ketika itu namun berjaya diselamatkan oleh dua lagi rakan mangsa.

Bagaimanapun, mangsa gagal diselamatkan dan terus dihanyutkan arus deras.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Papar, Dustan Peter berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.18 petang Jumaat itu dan sepasukan anggota telah digegaskan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat telah dilaksanakan di lokasi itu bermula Jumaat lepas.

“Namun demikian, mayat mangsa hanya berjaya ditemui oleh skuad penyelam kita kira-kira 6 meter daripada lokasi kejadian,” katanya.

Mangsa kini telah dibawa ke Hospital Daerah Papar untuk tindakan lanjut. (UB)



No comments:

Post a Comment