BENTANG.......Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Menteri Kewangan ketika membentangkan
Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat sebentar tadi.
KUALA LUMPUR : Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat membentangkan Belanjawan 2013
yang menggariskan lima fokus utama untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di
seluruh negara.
Belanjawan yang dibentangkan
Najib yang juga Menteri Kewangan itu juga bertujuan memastikan pertumbuhan
ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara
dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
"Kerajaan akan
memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum hasil
daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan," katanya ketika
membentangkan Belanjawan 2013 berjumlah RM251.6 billion di Dewan Rakyat, di
sini.
Belanjawan bertemakan
"Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat : Sebuah Janji Ditepati" itu
bakal memberi keselesaan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk masyarakat
desa, petani, buruh, nelayan, guru, pekebun kecil, pensyarah, karyawan,
penjawat awam dan golongan profesional serta usahawan.
Najib berkata pada 2013,
berdasarkan persekitaran ekonomi global yang dijangka lebih baik, pertumbuhan
ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5
peratus.
"Julung kalinya,
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras RM1
trilion," katanya.
Daripada keseluruhan
peruntukan RM251.6 bilion itu, sejumlah RM201.9 bilion ialah bagi perbelanjaan
mengurus dan RM49.7 bilion bagi peruntukan pembangunan.
Dari segi kutipan hasil
Kerajaan Persekutuan bagi 2013, Najib berkata jumlahnya dianggarkan RM208.6
bilion, berbanding RM207.2 bilion tahun ini.
"Dengan mengambil kira
anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan akan berkurangan
kepada empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2013,
berbanding 4.5 peratus pada 2012.
"Ini menunjukkan
kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal ke paras lebih
rendah," kata perdana menteri.
Kerajaan memperuntuk RM232.8
bilion untuk Belanjawan 2012, termasuk RM181.6 bilion untuk perbelanjaan
mengurus dan RM51.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Sementara itu, lima fokus
yang diberi penekanan dalam Belanjawan 2013 ialah merangsang aktiviti
pelaburan; memperkasa pendidikan dan latihan; membudaya inovasi meningkatkan
produktiviti; konsolidasi fiskal dan mempercekap penyampaian perkhidmatan awam;
dan mensejahterakan rakyat. (Bernama)
No comments:
Post a Comment