KUALA LUMPUR : Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata Badan Peguam Malaysia tetap menjadi rakan penting dalam
kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan negara walaupun kerajaan
tidak semestinya sentiasa bersetuju dengan pandangan dan beberapa aktiviti yang
dijalankan badan itu.
Perdana Menteri berkata
walaupun sesekali ada perbalahan atau pertelingkahan dalam politik dan
profesion undang-undang, kerajaan masih mendengar apa yang diperkatakan badan
itu dan memberi perhatian kepada apa yang mereka lakukan.
"Kita mungkin
adakalanya membuat lawak mengenai peguam, tapi mereka bagaimanapun mempunyai
peranan yang unik dan penting di negara ini," kata Najib pada Persidangan
Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2012, di sini pada Rabu.
Bagaimanapun Najib berkata
beliau sedar bahawa sesetengah pengamal undang-undang, terutama mereka yang di
dalam komuniti hak asasi manusia, masih memilih untuk melihat dengan pandangan
yang berbeza dari perspektif berlainan, walaupun kemajuan dalam undang-undang
secara beransur-ansur telah diperkenal kerajaan sejak setahun lepas.
"Kepada mereka saya
ingin katakan: Adalah lebih mudah untuk meruntuhkan sesuatu daripada
membinanya. Seperti Rom yang tidak dibangunkan dalam sehari, pembinaan sebuah
negara Malaysia yang adil, saksama dan demokratik tidak boleh dicapai
semalaman," katanya.
Najib berkata pembaharuan
undang-undang seperti keputusan untuk membatalkan tiga Perisytiharan Darurat
yang membawa kepada tamatnya Ordinan Darurat menunjukkan bahawa kerajaan
menunaikan janji-janjinya kepada rakyat.
Beliau berkata kerajaan juga
memutuskan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1971, Akta Buang
Daerah 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 serta meminda Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan 1984 bagi hak yang lebih baik untuk kebebasan bersuara dan memberi
pendapat.
Untuk menegakkan hak setiap
rakyat bagi kebebasan berhimpun, Seksyen 27 Akta Polis juga dimansuhkan dan
Akta Perhimpunan Aman 2011 diperkenalkan, manakala, pada masa yang sama,
kerajaan melahirkan hasrat untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.
"Kita telahpun
memulakan beberapa langkah tetapi perjalanannya masih panjang dan akan
berterusan. Ini adalah beberapa contoh untuk disokong apabila kami berkata
'kami mengotakan apa yang dijanjikan'.
"Adili saya bukan
dengan apa yang saya kata tetapi dengan apa yang saya buat," katanya
dengan menjanjikan bahawa pembaharuan itu tidak boleh diubah kembali. Merujuk
kepada pelancaran Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) pada Februari tahun
lepas, Najib berkata ia merupakan satu lagi peristiwa penting ke arah
memastikan akses kepada keadilan disediakan kepada individu-individu yang
ditangkap.
YBGK menyediakan bantuan
guaman percuma dan nasihat kepada semua rakyat Malaysia (tanpa mengira
kemampuan kewangan mereka) di balai polis semasa disoal siasat, pendengaran
reman dan apabila mereka didakwa di mahkamah.
Menurut Najib, adalah
dianggarkan 539 orang ditangkap setiap hari oleh polis di semenanjung Malaysia
sahaja.
Najib berkata walaupun hak
untuk mendapatkan akses kepada nasihat guaman dan representasi dimasukkan dalam
Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah, penubuhan YBGK merupakan komitmen kerajaan
untuk memberi nafas kepada Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan, yang
menyatakan bahawa sesiapa yang ditangkap perlu dibenarkan untuk berunding dan
dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihan mereka.
"Hasil positif daripada
inisiatif ini adalah jelas. Antara April dan Julai 2012 sahaja, peguam-peguam
YBGK membantu 16,274 orang daripada perintah reman sehingga kepada
perbicaraan," katanya.
Najib juga memetik kata-kata
Allahyarham ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein semasa merasmikan persidangan
undang-undang Malaysia yang pertama pada 1971, di mana Perdana Menteri kedua
negara itu menekankan betapa pentingnya badan peguam dan pentadbiran kerajaan
saling bekerjasama untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat. (Bernama)
No comments:
Post a Comment