Friday 28 September 2012

SESB RUGI HAMPIR RM 5JUTA 2011




POTONG… salah seorang kakitangan SESB sedang melakukan pemotongan haram di salah sebuah setinggan.

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kerugian hampir RM5 juta pada tahun kewangannya yang lepas akibat pelbagai kegiatan mencuri arus elektrik, kata Pengurus Besar (Pengurusan Aset) SESB Ahmad Fuad Md Kasim.

Daripada jumlah itu, katanya kesalahan “mengusik” sistem perjangkaan dari kalangan pengguna berdaftar menyumbang jumlah terbesar iaitu RM2.5 juta.

“Untuk kes pengusikan sistem perjangkaan, SESB telah melakukan 306 operasi serbuan melibatkan premis komersil dan domestik antara 1 Sept, 2011 dan 31 Ogos, lepas.

“SESB juga telah melakukan 17 operasi bersama Suruhanjaya Tenaga dalam tempoh tersebut yang mana kes-kes itu akan dibawa ke mahkamah untuk menuntut nilai kerugian,” katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.

Selain pengusikan sistem perjangkaan, Ahmad Fuad berkata SESB turut berdepan dengan masalah kegiatan penyambungan elektrik secara haram yang mengakibatkan anggaran kerugian RM1.7 juta kepada syarikat itu pada tahun kewangan lepas.

Menurutnya, kawasan setinggan dikenal pasti sebagai kawasan yang kerap melakukan penyambungan elektrik secara haram khususnya di Kota Kinabalu, Semporna, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau.

“Di samping kerap membuat serbuan atau pemeriksaan mengejut, SESB sedang mengenal pasti kaedah terbaik untuk membanteras kegiatan penyambungan haram di kawasan setinggan kerana kegiatan ini sukar dikawal.

“Kami mendapati masalah ini sering berulang kerana mereka ini tidak serik membuat penyambungan haram walau pun sedar akan bahayanya,” katanya.

Ahmad Fuad berkata SESB telah melakukan 175 serbuan ke atas premis yang melakukan penyambungan haram yang mana 173 daripada jumlah itu melibatkan kawasan setinggan.

Dalam pada itu, lebih lima kawasan setinggan melibatkan 500 buah rumah ‘terpaksa’ bergelap setelah bekalan elektrik yang diperoleh menerusi penyambungan haram dilumpuhkan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam satu serbuan kelmarin.






Antara kawasan terlibat dalam operasi itu adalah tiga di kawasan Likas iaitu Kampung Delima, Kampung Suang Parai dan Kampung Pulau Penampang manakala dua lagi di Kampung Lokub dan Kampung Padas yang terletak di kawasan Tebobon dekat sini.

Ketika serbuan dilakukan, terdapat penduduk kawasan setinggan berkenaan yang rata-ratanya dihuni oleh pendatang tanpa izin (PTI) bertindak menyorok kabel penyambungan elektrik mereka untuk mengelak daripada diketahui pihak SESB.

Bagaimanapun, tindakan pantas daripada SESB berjaya menghalang perbuatan tidak bertanggungjawab itu serta melaksanakan pemotongan dan seterusnya merampas wayar yang digunakan untuk penyambungan haram itu.

Malah operasi yang bermula pada jam 9.30 pagi hingga 3 petang itu turut menyaksikan terdapat penyambungan haram tersembunyi di dalam hutan, merentasi sungai, di tanam di dalam tanah dan wayar disimenkan di atas aspal jalan raya.

Operasi terbabit melibatkan lebih 20 anggota yang terdiri daripada Kendalian Pembahagian Kota Kinabalu (KPKK) SESB kawasan Kota Kinabalu, Polis Bantuan SESB dan kontraktor SESB.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Ahmad Fuad Md Kasim berkata operasi terbabit menumpukan sasaran penyambungan haram itu adalah bahagian pencawangan, tiang dan talian SESB di lokasi-lokasi terbabit.

“Tindakan serta merta telahpun dilakukan untuk memotong dan seterusnya merampas wayar yang digunakan untuk penyambungan haram itu.

“Pihak SESB juga sentiasa memantau dan membuat pemotongan penyambungan haram di kawasan terbabit tetapi perbuatan mencuri bekalan elektrik ini terus berulang.

“Oleh yang demikian, SESB memohon kerjasama daripada orang awam sentiasa memberikan maklumat mengenai sebarang aktiviti penyambungan haram ini di kawasan berkenaan kerana perbuatan ini sangat merbahaya dan menggangu keselamatan dan kesejahteraan awam,” katanya.

Kesalahan mencuri bekalan elektrik merupakan satu perbuatan jenayah mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990. (UB)

No comments:

Post a Comment