Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto :DMAN SHAM
KEPIMPINAN Masiung Banah
sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kuamut terus mendapat sokongan tidak berbelah
bagi terhadap 80 peratus pengundi berdaftar yang terdiri
daripada ahli-ahli Persatuan Suku Kaum Sungai Makiang Sinabu Kinabatangan
Sabah (PSKSMKS).
Sokongan diberikan berikutan
kejayaan Masiung menerajui pembangunan khususnya bagi kawasan luar bandar yang
sebelum ini kurang menerima limpahan pembangunan.
Pengerusi Persatuan
berkenaan, Marius Dawai mengetuai sokongan tersebut di mana mereka juga mahu kepimpinan sedia ada dikekalkan
seterusnya dicalonkan semula pada pilihan raya atas tiket kerusi Barisan
Nasional (BN).
Sehingga kini, persatuan
tersebut mempunyai seramai 3,007 orang ahli berdaftar dan jumlah tersebut akan bertambah
dari semasa ke semasa.
Marius dalam kenyataan
medianya berkata, walaupun baru satu penggal menjadi wakil rakyat di kawasan
berkenaan, namun Masiung telah banyak menyalurkan pembangunan dan bantuan
dilaksanakan, khususnya kepada penduduk di kawasan DUN Kuamut.
Jelasnya, ini termasuk
pemberian Geran Komunal kepada penduduk setempat; penubuhan Agropolitan
Lalampas; Pembangunan Lot-Lot Terancang selain penyaluran bantuan 'Touch Point'
kepada golongan memerlukan dan rakyat kurang berkemampuan.
“Sejak menjadi wakil rakyat
pada tahun 2008 sehingga kini, rakyat meliputi pelbagai kaum dan agama sudah
banyak menerima pembangunan dan bantuan hasil usaha beliau,” katanya.
“Inilah pemimpin yang perlu
dikekalkan, apatah lagi beliau sendiri sering turun padang bagi menyelami dan
mendengar sekali gus menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi rakyat,”
jelasnya.
Marius berkata, rakyat
mengetahui kini ramai individu tampil sebagai pemimpin bermusim kononnya mahu
membantu penduduk luar bandar. Menurutnya, senario seumpama sememangnya akan
berlaku setiap kali menjelang musim pilihan raya.
“Namun harus diingat minda
rakyat kini bukannya mudah dijual dengan diberikan setin ikan sardin atau
sebungkus tapau dan segelas air dan akan terus menyokong pemimpin bermusim
tersebut,” katanya.
Minda rakyat luar bandar,
kata Marius, sudah berubah seiring pembangunan negara kerana pengundi sekarang
sudah tahu menilai kepimpinan antara pemimpin kerajaan dan pemimpin bermusim.
“Pembangunan yang kami
terima adalah hasil usaha pemimpin dan kerajaan sedia ada, justeru kepimpinan
baik itu perlu diteruskan demi pembangunan seterusnya” jelasnya.
Menurutnya lagi, kerajaan
telah menyiapkan jaringan jalan raya dari Pekan Telupid ke Tongod dan sedang
melaksanakan pembangunan jalan raya dari Tongod ke Penangah, selain giat
memacak tiang elektrik bagi bekalan elektrik luar bandar.
Tambahnya, kerajaan melalui
kepimpinan sedia ada faham rakyat inginkan pembangunan, tetapi agak mustahil untuk
kerajaan menyalurkan pembangunan dengan sekelip mata. Semua pembangunan dan
bantuan kepada rakyat akan disalurkan mengikut prosedur dan keutamaan.
Marius turut menasihatkan semua
penduduk di kawasan Kuamut agar tidak terpengaruh dakyah-dakyah songsang yang
diputalbelitkan oleh para pemimpin pembangkang yang masuk kampung keluar
kampung keran tujuan mereka hanya satu iaitu menghasut rakyat dan memberikan
gambaran yang tidak tepat segala usaha-usaha kerajaan dalam meningkatkan pembangunan
di setiap kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat BN.
Para pemimpin pembangkang
bermusim ini, kata Marius, cakap mereka tidak serupa bikin kerana terlalu banyak
menabur janji kepada rakyat. Tetapi hanya setakat air liur sahaja kerana tiada satu
janjipun mereka tidak dapat tunaikan.
No comments:
Post a Comment