Thursday, 27 September 2012

PEKADIN CADANG KEMBALIKAN ARNS





Oleh : NEWMOND TIBIN

TUARAN : Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) mencadangkan supaya kerajaan Sabah menarik balik pemansuhan Amanah Rakyat Negeri Sabah (ARNS) yang berkuat kuasa pada awal tahun 1990an.

Naib Presiden Pekadin, Luis Lidong berkata sudah sampai masanya kerajaan negeri menimbang semula perkara itu dengan mengambil kira kedudukan kewangan negeri yang kini kukuh.

Beliau berkata ARNS yang dahulunya dikenali sebagai Amanah Saham Tun Mustapha diberikan kepada warga Sabah yang berumur 21 tahun dan ke atas, dan jumlah bayaran terakhir yang diberikan kepada mereka yang layak ialah RM200.

"Pekadin melihat pemberian Amanah Rakyat Negeri Sabah Amanah sebagai sesuatu yang boleh menyentuh perasaan rakyat Sabah tanpa mengira kaum, bangsa dan agama terutama sekali dalam soal kebajikan."

"Jelas sekali, kos sara hidup di Sabah sekarang agak tinggi berbanding dengan kos sara hidup pada zaman pemerintahan USNO (dari 1967 hingga 1976). Jadi wang daripada saham ini mungkin boleh sedikit sebanyak membantu meringankan beban rakyat terutama yang tinggal di luar bandar dan juga menanggung kos persekolahan anak-anak mereka yang berkeluarga menjelang sesi persekolahan awal tahun depan," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Sehubungan itu, Pekadin berharap Belanjawan Negeri Sabah 2013 yang dijangka dibentangkan pada penghujung tahun ini akan mengambil kira gesaan untuk meneruskan pembayaran ARNS.

"Oleh kerana Amanah Rakyat Negeri Sabah ini pernah diberikan atau dimulakan lebih 40 tahun yang lepas, harapan rakyat Sabah kini tinggi menggunung untuk melihat pembayaran ARNS ini sekurang-kurangnya disambung semula...kalau pun tiada pembayaran tunggakan," katanya.

Luis yakin kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman boleh melakukan yang terbaik untuk rakyat Sabah, termasuk masyarakat Kadazandusun Murut, sejajar dengan aspirasi gagasan 1Malaysia yang antara lain mengutamakan kebajikan rakyat.

Semalam, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dipetik sebagai berkata bahawa Sabah merupakan antara negeri yang mempunyai rekod pengurusan kewangan yang cemerlang.

Amrin berkata pengurusan kewangan negeri semakin meningkat sejak beberapa tahun lepas berikutan kepekaan jabatan dan agensi kerajaan negeri terhadap tuntutan dasar tadbir urus kewangan. (Bernama)

5 comments:

  1. If ARNS activated back, make sure only genuine Sabahans get the help.

    ReplyDelete
  2. Apa pun perkara ini perlu dikaji semula. Mungkin ada benarnya perkara ini perlu diteruskan lagi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. lebih baik jika ia diteruskan, ia akan membantu penduduk.

      Delete
  3. Itulah yang kita mahu Farah Zehra, memastikan yang mana hanya orang tulen SAbah saja yang layak mendapat dan jangan sampai diberikan kepada mereka yang Sabahan palsu.

    ReplyDelete
  4. saya tidak tahu apa ini ARNS.. anyway, jika baik untuk rakyat, ia patut dihidupkan semula.. jika tidak, baik jangan dilaksanakan..

    ReplyDelete