Wednesday 26 September 2012

RM300 UNTUK CABUT SEBATANG GIGI?




By : CLAIRE CINDERELLA

PERLINDUNGAN: Dennis (tengah) menyerahkan kelambu kepada salah seorang penduduk kampung yang menerima bantuan sempena karnival kesihatan tersebut.

Penduduk Baram bayar kos yang tinggi untuk khidmat kesihatan ULU BARAM: Perlu ada sekurang-kurangnya RM300 dalam saku jika mahu turun ke Miri semata-mata untuk mencabut sebatang gigi.

Itulah dilema penduduk dari kawasan pedalaman negeri ini terutama di Ulu Baram yang terpaksa melalui jalan pembalakan dan membayar tidak kurang daripada RM80 untuk tambang perjalanan ke Miri dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD).

Kos pengangkutan tinggi ini masih lagi menjadi halangan utama bagi penduduk di Ulu Baram untuk mendapatkan khidmat kesihatan dan perubatan yang lebih baik di bandar raya.

Situasi ini diakui sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau yang memberitahu bahawa setiap kali turun ke bandar raya Miri atau pekan kecil di pinggir Miri, penduduk terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM80 hanya untuk kos pengangkutan pergi sahaja.

“Kos perubatan bagi masyarakat di Baram terutama di kawasan hulu sungai masih sangat tinggi.

“Untuk turun ke Miri sahaja mereka terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM80 atau lebih bergantung kepada jarak kampung mereka.

“Ini belum lagi termasuk kos makan minum dan penginapan apabila tiba di Miri kelak.

“Malah untuk mencabut sebatang gigi, mereka perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM300 dan jumlah ini mungkin berganda atau lebih hingga boleh mencecah seribu ringgit, kerana mereka biasanya akan membawa bersama ahli keluarga,” tambahnya.

Menurut Dennis, jika penduduk dari Baram ingin mendapatkan khidmat atau perlu dirujuk kepada doktor pakar, maka kos tersebut pastinya akan berlipat kali ganda dan mereka perlu menjadi orang ‘kaya’ untuk mendapatkan khidmat yang diperlukan.

Keadaan pastinya sangat sukar bagi penduduk yang kebanyakannya masih dibelenggu kemiskinan kerana sumber pendapatan yang hanya bergantung kepada hasil pertanian dan perladangan.

Berucap semasa menutup program Karnival Kesihatan Baram yang diadakan di Kem Utama (Pembalakan) Baram Tengah (KM 10) atau lebih dikenali sebagai Kem Kilo 10 di kalangan penduduk di sini, Dennis menggesa agar kerajaan melalui kementerian berkaitan menyediakan khidmat perubatan dan kesihatan bagi penduduk di Ulu Baram.

Katanya, ini termasuk khidmat pemeriksaan kesihatan gigi dan mulut yang sering dialami oleh penduduk tempatan.

“Hanya dengan menyediakan pusat perubatan dan kesihatan yang lengkap seperti ini maka barulah penduduk di Baram akan dapat menikmati kemudahan dan perkhidmatan tersebut seperti warga Malaysia yang lain,” katanya.

Mengenai karnival kesihatan yang diusahakan oleh Kementerian Kesihatan di kem berkenaan, Dennis berkata beliau amat menghargai program seumpama itu kerana ia adalah satu-satunya cara untuk kerajaan menyampaikan khidmat kesihatan dan perubatan kepada penduduk di Ulu Baram.

Katanya program tersebut yang direka khusus untuk penduduk di Ulu Baram adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan dan sentiasa mendapat sambutan hangat daripada penduduk, kerana ia adalah peluang bagi mereka untuk mendapatkan khidmat kesihatan dan perubatan tanpa perlu mengeluarkan belanja yang tinggi.

“Kerajaan amat sedar dan prihatin dengan keperluan penduduk di pedalaman Baram yang sukar untuk mendapatkan khidmat kesihatan dan perubatan, terutama khidmat pergigian di mana mereka hanya boleh mendapatkannya di Miri sahaja.

“Justeru dengan adanya karnival seperti ini ia memberi peluang kepada penduduk mendapatkan khidmat tersebut dan ubat-ubatan yang diperlukan sekali gus membantu meringankan beban penduduk tanpa perlu mengelurkan wang untuk tambang yang mahal,” katanya.

Kira-kira 1,000 orang datang membanjiri karnival kesihatan selama dua hari itu.

Turut hadir ialah Pegawai Perubatan Bahagian Dr Faizul Mansoor dan Dr Christina Rundi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

No comments:

Post a Comment