Thursday 6 September 2012

WANITA UMNO SILAM PERTAHAN KETUA MEREKA





MINIT...... Safora (tengah) menunjukkan salinan minit mesyuarat bersama dengan Rahmah (kiri) dan Nursida (dua dari kanan).

Oleh: SHERBANU DEWI ABD GHANI

LAHAD DATU : Ahli-Ahli Jawatankuasa Pergerakan Wanita Umno Bahagian Silam di sini membidas sekerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Umno cawangan Panji Laut II, Kadir Kalbi yang disiarkan dalam salah sebuah akhbar tempatan baru-baru ini dan menyifatkannya sebagai provokasi untuk melindungi agenda peribadi.

Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita Umno Silam, Dayang Safora Abd.Wahid bercakap bagi pihak mereka berkata, kenyataan tersebut sangat tidak relevan kerana ketetapan calon Anak Jati Silam bagi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti adalah persetujuan daripada AJK Bahagian Umno Silam semasa mesyuarat bahagian tersebut pada 24 Mac lalu.

“Kami sangat terkilan kerana ucapan Ketua Pergerakan Wanita Umno Silam pada mesyuarat baru-baru ini di Dewan Seri Perdana sama sekali tidak berbaur perkauman, kerana di Silam ini semua bangsa ada lahir di kawasan parlimen Silam, seperti Suluk, Bajau, Bugis, Idahan dan lain-lain yang juga ada dilahirkan disini,

“Apa yang dimaksudkan, bukan pada bangsa tapi pada erti tempat kelahiran (anak watan), jika calon tersebut lahir di sini tidak kira apa bangsa sekalipun, maka itu yang terbaik dan harus diberikan peluang,” katanya yang juga merupakan Setiausaha Wanita Barisan Nasional (BN) Parlimen Silam dalam satu sidang media yang diadakan di pejabat Wanita Umno Silam di sini, kelmarin.

Ketua Penerangan Wanita BN merangkap Exco Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) negeri, Siti Rahmah Datu Sulaiman pula berkata, rakyat di kawasan ini bukan anti ‘Calon Import’ tetapi tidak bermakna mereka akan terus berdiam diri jika setiap kali pilihanraya BN sering menurunkan 'Bidan Terjun', majoritinya daripada Semporna.

“Sudah berapa kali calon bukan anak watan memimpin di sini, namun setiap kali akan berakhir dengan kekecewaan ibarat ‘sekadar melepas batuk di tangga’, jadi kami meminta pada pucuk pimpinan agar pada kali ini calon adalah anak watan seperti mana yang telah dipersetujui dalam mesyuarat Umno Bahagian Silam.

“Kami tidak pernah mempersoalkan isu anak watan sekiranya peluang yang diberi kepada mereka selama ini memberi impak positif... dan tolong jangan ‘kipas’ dan balas kenyataan kami dengan melibatkan pemimpin kawasan lain kerana ada juga pemimpin lain seperti Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang telah membuktikan kepimpinan dan kewibawaan beliau dalam memimpin kawasannya, tapi di sini keadaan amat berbeza dan sangat mendukacitakan,” tambahnya.

Dalam pada itu, mereka yang hadir juga mencadangkan agar Hajah Saleha Abd.Wahid dan anak watan lain yang telah menunjukkan bukti kerja dan usaha membangunkan kawasan Silam untuk dicalonkan dalam PRU-13 akan datang.

“Kami menyokong penuh kepimpinan pemimpin ini kerana telah menunjukkan hasil prestasi yang sangat memberangsangkan; apalagi beliau juga adalah anak watan di sini dan sekaligus membuktikan kami di sini sudah bersedia untuk ‘berdiri di kaki sendiri’,” kata mereka dengan nada tegas.

Ketua Penerangan Wanita Umno Bahagian Silam, Norsisa @ Norsida Patawi pula berkata kenyataan Kadir Kalbi yang merupakan abang kepada Ahli Parlimen Silam (Salleh Kalbi) itu adalah yang sebenarnya bertujuan cuba meniup api perkauman dan perpecahan, bukanlah kenyataan Hajah Saleha seperti yang dikatakan oleh beliau.

“Pemimpin dan ahli dalam Umno Silam terdiri daripada pelbagai suku kaum termasuk yang berasal dari daerah luar, maka tidak timbul soal perkauman dalam hal ini, hanya kepada mereka yang merasakan tergugat dengan asal usul sendiri dan tersinggung kerana bukan dilahirkan di kawasan Tungku, Kunak dan Lahad Datu,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment