Monday 17 December 2012

KEKUATAN BERGANTUNG KEPADA JENTERA PDM





Oleh : ARSHAD HUSSIN

MAGDIKAYU!.....Dato Sri Nasir (tiga kanan); Panglima Mohd.Tahir (empat kanan); WNC Jalali (dua kanan); Haji Bahulok (kanan) dan sebahagian anggota markas mengabadikan gambar kenangan sempena lawatan dan tinjauan ke Markas PDM Zon Mantaritip, Semporna.

SEMPORNA : Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Dato Sri Haji Nasir Tun Sakaran, berpuashati dengan persiapan awal semua markas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan pada bila-bila masa selepas melakukan tinjauan dan lawatan kesemua markas PDM itu di sini.

Nasir berkata, walaupun tarikh PRU-13 masih belum diketahui namun semua jentera markas PDM dan cawangan-cawangan hendaklah sentiasa bersiap bersedia dari masa ke masa.

Katanya, kekuatan dan kemenangan itu bergantung penuh kepada kesepaduan jentera parti dan semua Pusat Daerah Menggundi yang mantap serta sentiasa mendekati rakyat di akar umbi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Parlimen Semporna menyeru serta  menasihatkan semua anggota dan Ketua-Ketua Markas Pusat Daerah Mengundi  UMNO  Bahagian Parlimen Semporna dan DUN Senallang sentiasa bersiap sedia dan mengemaskini senarai pengundi serta mengesan semua pengundi bagi menghadapi PRU-13

Katanya, persediaan awal itu penting untuk menyelaras semua markas dan daerah mengundi dengan bilik gerakan bahagian serta bilik gerakan utama kawasan DUN dan cawangan-cawangan.

Beliau menambah, perkara itu penting bagi menyalurkan maklumat diperlukan sekali gus mempastikan tidak wujud kekeliruan menjelang pilihanraya kelak.


Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Senallang, mengingatkan rakyat di kawasan itu terus mengukuhkan perpaduan di samping memberikan sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional yang selama ini sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat melalui misi Tradisi Membela Rakyat dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Rakyat Didahulukan, pencapaian diutamakan serta Janji Ditepati.

Katanya, selama ini rakyat di kawasan itu khususnya golongan nelayan dan penduduk di kawasan pulau kini merasa selesa mencari nafkah di kawasan laut sejak pengwujudan Pangkalan Tentera di daerah itu serta kawalan anggota keselamatan di semua pulau memberikan keyakinan kepada rakyat dan kaum nelayan.

Selain itu kerajaan BN juga sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dengan menyalurkan pelbagai bantuan termasuklah kepada kaum nelayan dengan skim bantuan nelayan; golongan miskin melalui pembaikan rumah; Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di samping bantuan pelajar serta infrastruktur.

Kawasan Parlimen Semporna mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Kawasan DUN Senallang; Sulabayan dan Bugaya dengan jumlah pengundi seramai 41,071 orang pemilih.

Nasir yang diringi Pemimpin UPKR Kawasan Dun Senallang, Haji Tahir Haji Amir; Ketua Daerah Semporna Kawasan Senallang, OKK Haji Musa Sabaani; Pegawai Perhubungan DUN Senallang, Haji Zainal Jalaludin; anggota PDM Dun Senallang dan kakitangan Pejabat DUN Senallang melakukan lawatan kesemua markas iaitu Markas PDM Zon Mantaritip; Zon Pakalangan; Zon Tagasan; Zon Musallah; Zon Inabah Kamal; Zon Kabogan dan Zon Tampi-Tampi sambil meninjau projek pengubahsuaian masjid Nur Salim dan menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat Islam di masjid Senallang Tengah.

No comments:

Post a Comment