Friday, 21 December 2012

WASPADA PELAKON POLITIK LAMA






KOTA BELUD: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said mengingatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada dengan pelakon politik lama yang berubah nada setelah menyertai pembangkang.

Sambil menyifatkan golongan itu sebagai lidah bercabang, beliau berkata mereka yang bersikap sedemikian tidak harus diberi tempat kerana agendanya jelas hanya untuk kepentingan diri dan survival politik semata-mata.

"Dalam suasana politik mutakhir ini, tidak dinafikan adanya pelakon atau aktor politik yang berubah nada setelah menyertai pembangkang. Tujuannya untuk menonjolkan diri, berlagak seperti hero supaya mendapat perhatian. Kita kena hati-hati dengan golongan seperti ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kemas di Kampung Piasau, di sini hari ini.

Hadir sama Pembantu Menteri Perkhidmatan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan.

Salleh yang juga Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Kota Belud berkata Parti Bersatu Sabah (PBS), sebuah daripada parti komponen BN akan mempertahankan kerusi DUN Kadamaian dan BN Kota Belud tiada halangan jika penyandangnya (Herbert) dipilih semula sebagai calon dalam PRU-13 nanti.

"Ini kerana beliau (Herbert) telah memberi khidmat yang cemerlang kepada masyarakat Kadamaian dan saya yakin tidak ada masalah besar untuk mencapai kemenangan," katanya, sambil mengajak rakyat supaya memberi sokongan padu kepada BN demi kestabilan, sekali gus membolehkan kelangsungan agenda pembangunan yang dirancangkan.

Beliau berkata rakyat perlu bersatu dan berdiri teguh bersama pimpinan BN yang telah membuktikan keupayaan dan kemampuan membawa kemajuan serta kemakmuran untuk rakyat dan negra ini.

Katanya, setiap rakyat perlu melihat ke hadapan dan jangan sesekali bersikap emosi atau terikut-ikut rentak pembangkang.

"BN adalah pilihan terbaik untuk rakyat sebagaimana terbukti `track record'  sepanjang mentadbir negara sejak awal kemerdekaan dahulu," katanya.

No comments:

Post a Comment