SANDAKAN: Kedudukan Parti
SAPP Parlimen Batu Sapi terus goyah apabila salah seorang pemimpinnya bertindak
keluar dari parti itu setelah hilang kepercayaan terhadap perjuangan parti dari
segi semua aspek.
Pengerusi Perhubungannya di
kawasan Sekong, Haji Abdul Rashid Haji Mutalib mengisytiharkan keluar parti
untuk menyertai Umno bersama-sama dengan ahli jawatankuasa CLC dan
penyokong-penyokong seramai 150 orang.
Tindakan Haji Abdul Rashid
yang merupakan pemimpin masyarakat itu dibuat dihadapan Perdana Menteri, Datuk
Seri Mohd Najib Tun Razak dalam satu majlis bersama rakyat di Kampung Lupak
Meluas, dekat sini, baru-baru ini.
Turut menyaksikan kemasukan
mereka secara beramai-ramai ini adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman
dan beberapa pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) dari seluruh negeri Sabah.
“Saya meninggalkan parti
SAPP disebabkan kerana wadah perjuangannya tidak selari dengan perjuangan saya.
Sebab itu, saya telah berfikir panjang untuk membuat keputusan yang terbaik
dengan bertindak keluar kerana sudah hilang kepercayaan dengan perjuangan parti
ini.
“Saya tidak didesak atau ada
orang yang menyuruh .. keputusan ini adalah atas kerelaan yang turut dibuat
bersama-sama penyokong. Kami berpendapat bahawa hanya parti Umno yang
bertunjangkan kerajaan BN saja mampu membela nasib rakyat jelata.
“Apalagi kepimpinan Umno
yang sangat prihatin di bawah teraju Mohd Najib dan Musa selain wakil rakyat
yang ada sekarang telah membawa banyak perubahan kepada kawasan Batu Sapi,”
katanya.
Sehubungan itu, beliau
berharap rakyat terutamanya di kawasan terbabit agar memberikan sokongan yang
lebih padu bagi memastikan BN mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum
(PRU) Ke-13 nanti.
Beliau meramalkan lebih
ramai lagi ahli-ahli SAPP khususnya di kawasan ini akan mengikut jejak
langkahnya untuk menyertai Umno kerana kepercayaan mereka terhadap parti
tersebut semakin pudar.
No comments:
Post a Comment