Thursday 14 February 2013

BERBEZA BUDAYA BUKAN HALANGAN PERPADUAN






LIMAU...Kapitan Ong Hang Seng (dua kanan) menghidangkan limau tahun baru kepada Dato Sri Nasir (kanan) sambil diperhatikan David Ong (duduk kanan) sempena sambutan Tahun Baru Cina di Semporna.

Oleh : ARSHAD HUSSIN


SEMPORNA : Perbezaan adat budaya, suku kaum dan fahaman agama tidak menghalang rakyat negeri ini sama-sama memeriahkan sesuatu perayaan malah ianya telah lama berakar umbi serta menjadi amalan semua masyarakat di negeri Bawah Bayu.

Amalan itu dipraktikkan kerana rakyat negeri ini mempunyai hubungan kekeluargaan yang erat antara kaum itu sendiri sehingga telah mewarnai kemeriahan sesuatu perayaan yang disambut bersama.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Dato Sri Nasir Tun Sakaran, menjelaskan tidak hairanlah kalau negeri Sabah yang mempunyai lebih 32 suku kaum menjadi contoh kepada gagasan konsep 1Malaysia yang di perkenalkan Perdana Menteri.

Katanya, keunikan negeri Sabah bukan sahaja dari segi adat dan budaya, sambutan perayaan, kenduri-kendara dan majlis-majlis perkahwinan malah ianya diamalkan dalam kehidupan seharian.

Justeru itu katanya, jangan hairan  kalau rakyat negeri Sabah boleh duduk semeja walaupun berlainan bangsa, fahaman politik dan anutan agama.

Dato Sri Nasir berkata demikian  sempena kunjungan  sambutan Tahun Baru Cina di kediaman Ketua Masyarakat Cina Kawasan Bandar,Kapitan Ong Hang Seng dekat sini.

Turut serta dalam kunjungan itu Pemimpin Unit Kemajuan Rakyat (UPKR)Dun Senallang,Haji Tahir Amir; Ketua Daerah Semporna Kawasan Senallang, OKK Haji Musa Sabaani; Pegawai Kemajuan Masyarakat DUN Bugaya, Zakaria Iral; Pegawai Perhubungan DUN Senallang, Haji Zainal Jalaludin; Kakitangan UPKR serta Kakitangan Pejabat Adun Kawasan Senallang.

Dato Sri Nasir, berkata adalah penting segenap lapisan rakyat terus mengekalkan semangat perpaduan sesama kaum dan perasaan muhibbah yang telah lama wujud itu sebagai pemangkin kepada keamanan, kemakmuran dan keselamatan  serta kestabilan politik demi  kelancaran pembangunan yang sedang dan akan disalurkan kerajaan semata-mata untuk membela nasib rakyat.

Katanya, tanpa keamanan  rakyat tidak akan dapat menikmati hidup yang sejahtera sebaliknya akan sentiasa hidup dalam kebimbangan dan ketakutan seperti apa yang dihadapi rakyat di negara-negara yang bergolak akibat perpecahan kaum.

No comments:

Post a Comment