LIMAU...Kapitan
Ong Hang Seng (dua kanan) menghidangkan limau tahun baru kepada Dato Sri Nasir
(kanan) sambil diperhatikan David Ong (duduk kanan) sempena sambutan Tahun Baru
Cina di Semporna.
Oleh : ARSHAD HUSSIN
SEMPORNA : Perbezaan adat
budaya, suku kaum dan fahaman agama tidak menghalang rakyat negeri ini
sama-sama memeriahkan sesuatu perayaan malah ianya telah lama berakar umbi
serta menjadi amalan semua masyarakat di negeri Bawah Bayu.
Amalan itu dipraktikkan
kerana rakyat negeri ini mempunyai hubungan kekeluargaan yang erat antara kaum
itu sendiri sehingga telah mewarnai kemeriahan sesuatu perayaan yang disambut
bersama.
Menteri Di Jabatan Ketua
Menteri Sabah, Dato Sri Nasir Tun Sakaran, menjelaskan tidak hairanlah kalau
negeri Sabah yang mempunyai lebih 32 suku kaum menjadi contoh kepada gagasan
konsep 1Malaysia yang di perkenalkan Perdana Menteri.
Katanya, keunikan negeri
Sabah bukan sahaja dari segi adat dan budaya, sambutan perayaan, kenduri-kendara
dan majlis-majlis perkahwinan malah ianya diamalkan dalam kehidupan seharian.
Justeru itu katanya, jangan
hairan kalau rakyat negeri Sabah boleh
duduk semeja walaupun berlainan bangsa, fahaman politik dan anutan agama.
Dato Sri Nasir berkata
demikian sempena kunjungan sambutan Tahun Baru Cina di kediaman Ketua
Masyarakat Cina Kawasan Bandar,Kapitan Ong Hang Seng dekat sini.
Turut serta dalam kunjungan
itu Pemimpin Unit Kemajuan Rakyat (UPKR)Dun Senallang,Haji Tahir Amir; Ketua
Daerah Semporna Kawasan Senallang, OKK Haji Musa Sabaani; Pegawai Kemajuan
Masyarakat DUN Bugaya, Zakaria Iral; Pegawai Perhubungan DUN Senallang, Haji
Zainal Jalaludin; Kakitangan UPKR serta Kakitangan Pejabat Adun Kawasan
Senallang.
Dato Sri Nasir, berkata
adalah penting segenap lapisan rakyat terus mengekalkan semangat perpaduan
sesama kaum dan perasaan muhibbah yang telah lama wujud itu sebagai pemangkin
kepada keamanan, kemakmuran dan keselamatan
serta kestabilan politik demi
kelancaran pembangunan yang sedang dan akan disalurkan kerajaan
semata-mata untuk membela nasib rakyat.
Katanya, tanpa keamanan rakyat tidak akan dapat menikmati hidup yang
sejahtera sebaliknya akan sentiasa hidup dalam kebimbangan dan ketakutan
seperti apa yang dihadapi rakyat di negara-negara yang bergolak akibat
perpecahan kaum.
No comments:
Post a Comment