SEMANGAT...Ketiga-tiga
Pemimpin BN ADUN, Sekong Samsudin, ADR Batu Sapi Linda Tsen dan ADUN
Karamunting Peter Pang yakin BN dapat menawan
ketiga-tiga kerusi pada PRU 13 nanti.
Oleh: SHAIMON S JUMADI
SEKONG : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong,
Datuk Samsudin Yahya, melahirkan keyakinannya kawasan Batu Sapi akan tetap
menjadi kubu kuat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya
Umum (PRU) Ke-13, sama ada beliau terpilih sebagai calon ataupun tidak.
Menurut beliau, janganlah
pihak pembangkang bermimpi untuk merampas Batu Sapi termasuk dua DUN iaitu
Karamunting dan Sekong memandangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan sedia
ada tidak pernah berbelah-bahagi.
Ini katanya, sokongan padu
daripada semua lapisan masyarakat terutamanya golongan belia menjadikan kawasan
ini tetap sebagai kubu kuat kerajaan BN.
"Jangan mimpilah kepada
mana-mana kumpulan pembangkang untuk cuba merampas kawasan ini kerana rakyat
tetap dengan BN. Rakyat Batu Sapi tidak akan berganjak malahan akan terus
memberikan sokongan padu demi kemenangan BN pada PRU-13 nanti.
"Lagi pun rakyat sudah
pandai berpolitik. Mereka tahu kerajaan mana yang perlu diberikan sokongan
daripada memilih parti yang suka menjanjikan bulan dan bintang," tegasnya
sambil menerima tepukan gemuruh sewaktu melancarkan Jentera Pilihanraya Pemuda
BN Batu Sapi di perkarangan Flat MPS Karamunting, dekat sini, baru-baru ini.
Hadir sama Menteri Belia dan
Sukan merangkap Adun Karamunting, Datuk Peter Pang En Yin; Ahli Parlimen Batu
Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin; Ahli Parlimen Bayan Lepas, Datuk Seri Zahrain
Mohd Hashim dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Batu Sapi, Mohd Firdaus Datuk
Akbar Khan serta Ketua Puteri Umno Batu Sapi, Latifah Tahir.
Dalam konteks itu, Samsudin
mengarahkan jentera Pemuda BN Batu Sapi giat turun padang bagi memastikan
setiap jentera parti dapat diperkukuhkan sekali gus menyumbang kepada kekuatan
parti.
Beliau memuji usaha dan
inisiatif Mohd Firdaus yang tidak putus-putus melaksanakan pelbagai pendekatan
demi membela anak-anak muda sekali gus menunjukkan keprihatinan mereka kepada
pembangunan golongan tersebut.
"Pendekatan Mohd
Firdaus dan barisan jawatankuasanya memperkukuh kan lagi kepercayaan rakyat
terutama anak-anak muda kepada BN yang selama ini banyak memberikan bantuan dan
galakan dalam pelbagai bidang.
"Saya yakin kawasan ini
tetap menjadi milik BN memandangkan sokongan rakyat semakin meningkat tambahan
lagi Pemuda Umno Batu Sapi kini siap siaga dengan jentera yang mampu menepis
segala dakyah-dakyah dari pihak pembangkang.
"Rakyat jangan percaya
ini pembangkang. Mereka suka sangat putarbelitkan fakta mahu pun isu.
Percayalah, mereka tidak boleh berbuat apa-apa kepada saudara. BN saja mampu
membela nasib bangsa, agama dan negara," kata Samsudin.
No comments:
Post a Comment