KOTA KINABALU : Pemberian
sijil lahir kepada anak warga asing yang lahir di Sabah bukan pengesahan
sebagai warganegara, kata Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pendafataran Negara
(JPN) Sabah Jainisah Mohd Noor.
Katanya, biarpun setiap
kelahiran wajib didaftarkan dengan JPN, penentuan status warganegara adalah
berdasarkan undang-undang, termasuk pengiktirafan perkahwinan ibu bapa di
negara ini.
"Ramai yang menganggap
anak warga asing yang memiliki sijil lahir JPN mendapat taraf warganegara
secara automatik. Sebenarnya, ini tidak tepat.
"Sijil lahir yang
diberikan sebenarnya tidak mengiktiraf anak warga asing sebagai warganegara.
Tetapi sijil itu hanya sebagai akuan anak tersebut dilahirkan di negara
ini," jelasnya pada taklimat media bertajuk 'Evolusi Kad Pengenalan dan
Sijil Lahir di Sabah' anjuran bersama Jabatan Penerangan Negeri, Jabatan Hal
Ehwal Khas Negeri dengan JPN Negeri di sini, Khamis.
Jainisah berkata anak
pasangan warga asing boleh diiktiraf sebagai warganegara jika pasangan
berkenaan bertaraf pemastautin tetap dan perkahwinan mereka diiktiraf di
Malaysia.
Taraf warganegara juga
diberikan kepada anak yang dilahirkan kepada pasangan berlainan kewarganegaraan
dengan syarat seorang daripadanya merupakan warganegara dan perkahwinan mereka
diiktiraf di Malaysia, katanya.
"Bagi anak yang
dilahirkan kepada pasangan berlainan kewarganegaraan yang mana perkahwinan
mereka tidak diiktiraf (di negara ini), anak itu menjadi warganegara jika
ibunya adalah warganegara.
"Lain pula jika bapanya
yang warganegara (bagi perkahwinan tidak diiktiraf), anak itu dianggap warga
asing kerana kita melihat tanggungjawab anak adalah pada ibu yang
melahirkannya," jelasnya. (BERNAMA)
Jika emak seorang pati dan perkahwinan tak berdaftar tetapi telah menghilangkan diri dan sehingga kini tak dapat dikesan bagaimana dengan si anak???? Nak hantar balik indon tak tahu nak bagi siapa. Nak menetap terus terpaksa sentiasa melarikan diri daripada pihak berkuasa. Nak buang ke mana anak ni?????..........
ReplyDelete