Wednesday 6 April 2011

BANTAHAN EMPANGAN TAMBATUON AKAN DIKAJI



SERAH ……Abdul Rahman (empat dari kanan) meneliti memorandum yang diserahkan kepadanya oleh wakil penduduk Kampung Tambatuon di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Belud.

Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI

HASRAT kerajaan untuk membina empangan di Kampung Tambatuon sebagai kawasan tadahan air dan juga sebagai sistem saliran bagi menyokong aktiviti pertanian di daerah ini khususnya industri penanaman padi dapat membantu negeri ini daripada kekurangan bekalan beras di masa hadapan.

Cadangan pembinaan empangan Tambatuon bernilai 450 juta di Kota Belud sebagai kawasan Jelapang Padi Sabah adalah antara usaha kerajaan untuk mengatasi masalah kekurangan beras di negeri Sabah.

Negeri Sabah menghadapi masalah kekurangan makanan dan daerah Kota Belud telah dikenal pasti sebagai kawasan yang sesuai untuk projek penanaman padi secara besar-besaran.

Sementara air sememangnya diperlukan bagi memastikan penanaman padi dapat dijalankan sepanjang tahun.

Baru-baru ini, satu memorandum Projek Pembinaan Empangan di Kampung Tambatuon telah diserahkan kepada Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan oleh wakil penduduk di kampung itu. akan diteliti dan akan dipanjangkan kepada kerajaan.

Abdul Rahman berkata memorandum luahan isi hati daripada penduduk kampung itu akan diteliti dan akan dipanjangkan kepada kerajaan.

Katanya, memorandum itu akan terus diberi perhatian dan apa juga tindakan kerajaan adalah untuk kebaikan rakyat secara keseluruhan.

“Saya meminta kepada penduduk Kampung Tambatuon yang diwar-warkan tanah mereka akan terlibat dalam projek pembinaan empangan itu supaya tidak membuat perkara yang tidak diingini bagi mengelakkan masalah menjadi lebih rumit lagi.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh media selepas majlis penyerahan Memorandum Bantahan Pembinaan Empangan Tambatuon.

Memorandum tersebut telah diserahkan oleh AJK Badan Bertindak Penduduk Tambatuon yang diketuai oleh Jahim Singkui di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Belud, baru-baru ini.

Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah berkata, pihaknya tidak mahu membuat sesuatu keputusan samada di pihak penduduk kampung ataupun pihak kerajaan tanpa mengetahui isu sebenar.

Menurutnya, ini kerana selalunya apabila ada bantahan yang dibuat berdasarkan kepada beberapa fakta yang mungkin masih tidak dapat dipastikan oleh penduduk kampung sebagi contohnya pampasan dan sebagainya.

“Jadi, maknanya apabila membuat apa-apa kesimpulan baik dari pihak kerajaan ataupun pihak penduduk kampung mestilah berdasarkan fakta, dan apa yang berlaku di bawah dan di atas jangan hanya berdasarkan kajian atas kertas sahaja. Ini bukan sahaja bagi pihak kerajaan tetapi juga bagi pihak penduduk kampung.” katanya lagi.

Terang Abdul Rahman lagi, pihak kerajaan akan mengadakan satu taklimat kepada Wakil-Wakil Rakyat di daerah ini dalam masa yang terdekat berhubung isu tersebut.

Menurutnya, Wakil-Wakil Rakyat akan meluahkan pandangan dan bantahan penduduk kampung yang terbabit supaya dapat dipertimbangkan oleh pihak kerajaan.

“Kita berharap kerajaan akan dapat mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut.”

“Bagaimanapun, penduduk kampung mesti ingat bahawa kerajaan memang tidak berniat untuk menganiaya siapa-siapa pun. Sebaliknya setiap projek kerajaan adalah untuk kebaikan negara dan rakyat secara keseluruhannya.” katanya lagi.

Jelas Abdul Rahman lagi sebelum ini para pemimpin di daerah Kota Belud telahpun bertungkus lumus untuk menyelesaikan masalah ini untuk kebaikan semua pihak.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menyelesaikan isu ini kerana isu ini adalah isu yang sensetif, isu yang melibatkan kepentingan penduduk kampung dan juga kepentingan negara secara keseluruhannya.

“Wakil Rakyat DUN Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan; Wakil Rakyat DUN Kadamaian, Datuk Musbah Jamli; Wakil Rakyat DUN Usukan, Datuk Japlin Akim bersama Ketua Bahagian Umno Kota Belud, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Belud, Awadnir Matanggal amat komited dalam isu ini.”

“Mereka sentiasa bertungkus lumus, memerah otak mencari jalan menyelesaikan masalah ini demi kebaikan semua pihak.” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment