Friday 8 April 2011

JAGA SUNGAI DEMI KELANGSUNGAN GENERASI



SAMPAIKAN….Kurup menyampaikan set pemadam api kepada ketua Kampung Kg.Lunguyan, Hassan Saidi sempena Program Rakan Alam Sekitar. Turut kelihatan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Keningau, Phillip Pudon.

Oleh: ROZIE JUMAT

RAKYAT harus menjaga kepentingan sungai yang selari dengan kehidupan dan budaya manusia dari zaman ke zaman. Ini kerana sungai atau air telah memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia dan bergantung kepadanya untuk kelangsungan hidup.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, perbuatan membuang sampah, najis, bangkai binatang, kotoran ke dalam sungai adalah satu perbuatan yang mencemarkan kualiti sungai.

“Jangan ambil cara mudah dengan melakukan tindakan seperti ini kerana masyarakat kita banyak bergantung kepada sungai untuk kehidupan seharian,” kata Kurup ketika melancarkan Program Rakan Alam Sekitar di SMK Tulid, Sook di sini. Program itu bertemakan ‘Sayangi Sungai Kita’.

Beliau juga meminta rakyat agar tidak menuba atau meracun sungai bagi tujuan menangkap ikan kerana tindakan itu juga memberi kesan yang besar kepada kehidupan akuatik sungai yang sepatutnya dijaga dan dikawal.

Dalam pada itu Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, perbuatan meracun rumput di tebing sungai juga adalah dilarang kerana tindakan itu turut menjejas sungai yang merupakan punca air.

“Suatu hari nanti jika sungai yang ada pada hari ini tidak dijaga dengan baik, maka kita mungkin tidak berani mandi apatah lagi mengambil airnya kerana tercemar. Kita tidak mahu perkara ini berlaku, sebab itulah program ini dianjurkan untuk mengingatkan tanggungjawab kita bersama menjaga kebersihan sungai,” ujar Kurup.

Sempena program itu pelbagai acara dijalankan termasuklah ceramah mengenai alam sekitar, kepentingan hutan, pertandingan mewarna, melukis dan ‘River Rangers’ di kalangan peserta yang terdiri dari 6 buah sekolah di sekitar Mukim Tulid.

Turut sama dalam program itu ialah Pengarah Chemical Company of Malaysia (CCM), Mohd Nazmi Sallehudin, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia.

No comments:

Post a Comment