Friday, 8 April 2011

DI MANA MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR?



KEMENTERIAN Tenaga, Teknologi Hijau dan Air disifatkan telah bertindak di luar batasan dan melampaui bidang tugas mereka dengan memberikan jawapan ala kanak-kanak tadika berhubung kenyataan Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raime Unggi yang sekali lagi membawa isu pencemaran plumbum.

“Saya rasa yang sepatutnya menjawab pertanyaan saya ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan bukannya Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Puan Noriah Binti Kasnon,” kata Raime yang kesal kerana Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar enggan memberikan sebarang respon berhubung isu yang amat meruncing ini.

Walaupun Timbalan Menteri berkenaan menyatakan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar Sabah sentiasa bersiap sedia dan bertindak tegas untuk memastikan tiada sindiket-sindiket pelupusan buangan terjadual secara haram berlaku di negeri Sabah, namun memandangkan Noriah tiada locus-standi, maka ulasannya di Parlimen tidak dapat dikuatkuasa Jabatan Alam Sekitar Sabah.

Berikut petikan Handsard Parlimen yang membingungkan Raime;

Datuk Raime Unggi [Tenom]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi saya ruang untuk membahas Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Pembangunan Lestari 2010 dalam Dewan yang mulia ini.

Kalau kita sentuh Tuan Yang di-Pertua soal pembangunan tenaga lestari sudah tentu kita membayangkan keseimbangan ekologi pembangunan sekeliling tanpa mengabaikan alam sekitar dan juga suasana yang kondusif bagi membolehkan manusia dapat tinggal dan hidup dalam suasana yang sejahtera.

Tiadanya gangguan yang membolehkan manusia untuk hidup dalam keadaan aman dan selamat. Namun tidak semuanya khabar itu menggembirakan malahan tindakan-tindakan manusia walaupun dengan tujuan murni ada juga memberi kesan yang tidak baik kepada manusia.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bangkitkan sekali lagi tentang kegagalan pihak berkuasa alam sekeliling sehingga boleh mengakibatkan nyawa lebih 3.2 juta di negeri Sabah sentiasa diintai ajal akibat kesan langsung daripada radiasi penyakit dan keracunan yang berpunca daripada pencemaran berlebihan bahan buang sisa toksik plumbum ekoran penggunaan bateri asid plumbum dalam sistem elektrik solar luar bandar dan juga menara-menara telekomunikasi.

Saya sudah maklumkan kepada pihak JAS Sabah gagal memantau operasi pembuangan sisa toksik berasaskan plumbum dan juga gagal menghalang kegiatan menjadikan Sabah sebagai pusat pelupusan plumbum terbesar di Asia Tenggara ekoran ketiadaan pusat pelupusan-plumbum di negeri berkenaan.

Persoalan yang masih menjadi misteri hingga kini Tuan Yang di-Pertua bagaimana bateri-bateri ini yang seberat antara 20 hingga 120 kilogram boleh melepasi pemeriksaan kastam terutama yang diimport dari negara Jerman, Itali, Czechoslovakia, China dan juga Taiwan yang mana mereka juga mengharamkan penggunaan bateri plumbum.

Saya sekali lagi membangkitkan dan menggesa agar Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air agar dapat menyediakan satu jawatankuasa khas ke Kabinet bagi membahaskan dan menyelesaikan isu penting ini kerana ianya telah meletakkan jiwa terutama rakyat di negeri Sabah dan juga pelancong dalam keadaan terancam.

Bagi saya rakyat negeri Sabah terutama kanak-kanak di sekolah yang menggunakan sistem solar dan solar hibrid yang dikuasakan oleh bateri asid plumbum dikuarantinkan dan jalankan pemulihan segera kerana kesan plumbum dalam darah mereka mungkin tidak dapat dikeluarkan daripada tubuh dan juga akan meninggalkan kesan dalam jangka masa yang lama dan mungkin akan mengakibatkan hidup mereka menderita.

Kita perlu mendapat laporan lengkap. Kita mahu laporan terkini dikeluarkan oleh Pusat Racun Negara dan yang paling menyedihkan Tuan Yang di-Pertua keadaan sekarang ialah kebanyakan sekolah di luar bandar sanggup menggadaikan nyawa anak-anak sekolah dengan membenarkan kemasukan bateri asid plumbum di dalam bilik darjah dan juga bilik guru atau perpustakaan.

Adalah mustahil mereka tidak tahu bahawa setiap kali bateri yang berkenaan dicas di dalam bilik darjah akan mengeluarkan gas asid sulfurik dan juga gas plumbum yang disedut terus oleh kanak-kanak di dalam kelas berkenaan dan sekitarnya sehingga menimbulkan pelbagai komplikasi kesihatan.

Kita ambil contoh Tuan Yang di-Pertua kematian 400 orang kanak-kanak di Nigeria dan juga penderitaan yang dialami oleh lebih kurang 2,000 kanak-kanak di negeri China akibat pencemaran plumbum. Ini sudah berlaku dan kita tidak mahu ia berlaku di negeri Sabah.

Saya pernah membangkitkan soal juru perunding yang dilantik oleh kementerian bagi melihat masalah melupuskan bateri asid plumbum ke negeri Sabah. Saya syorkan supaya pihak SPRM untuk masuk campur dalam perkara ini kerana perkara ini telah lama berlaku sejak 1996.

Walaupun sudah agak terlambat untuk bertindak kerana saya percaya majoriti kanak-kanak di negeri Sabah telah dijangkiti keracunan plumbum dan sama ada akibat daripada kesan langsung air sungai yang dicemari, pembuangan sisa toksik seperti di Lombong Tembaga Mamut di Ranau sedikit masa lalu tetapi kita yakin masih mempunyai kesempatan untuk bertindak mengharamkan plumbum ke negeri Sabah.

Di samping itu juga Tuan Yang di-Pertua saya hendak menegaskan agar Jabatan Alam Sekitar juga segera menguatkuasakan undang-undang alam sekeliling secara mandatori dengan mendenda sesiapa sahaja yang membuang sisa bateri plumbum di negeri Sabah termasuklah kontraktor bekalan elektrik luar bandar (BELB) yang mengimport masuk racun karsinogenik berkenaan tanpa kelulusan JAS.

Saya akan memastikan ini Tuan Yang di-Pertua dengan kerjasama beberapa badan NGO yang mana prihatin sedang mengkaji kesan sampingan yang dihasilkan daripada plumbum terutama di sungai-sungai negeri Sabah dan juga di perairan kerana menjadi tempat pembuangan sisa logam berat berkenaan terutama perubahan genetic dan juga kepupusan banyak spesies ikan dan yang paling penting tahap mutasi spesies tertentu akibat kesan radiasi plumbum.

Tuan Yang di-Pertua, penjenayah alam sekitar ini hendaklah diheret ke mahkamah dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan juga Sabah Elektrik Sdn. Bhd. harus prihatin dalam soal yang mencemarkan alam sekitar kerana jana kuasa solar seperti di Pulau Banggi dan beberapa kawasan lain turut menggunakan bateri asid plumbum yang amat berbahaya kepada manusia.

Malah saya juga kesal dengan sikap TNB dan juga SESB yang cuai kerana gagal menyediakan pakaian keselamatan termasuk corong pernafasan beroksigen sehingga menyebabkan para pekerja mereka terdedah kepada bahaya pencemaran dan juga keracunan plumbum ketika berada dalam loji jana kuasa solar dan menyelenggara bateri berkenaan.

Bukankah tugas untuk menyelenggara bateri ini Tuan Yang di-Pertua sewajarnya dilakukan oleh kontraktor yang membekalkan bateri berkenaan dan bukannya kakitangan ataupun penjaga jentera. Sebagai contoh tahap keselamatan di loji jana kuasa elektrik Pulau Banggi setelah satu daripada 250 bateri asid plumbum di stesen berkenaan telah meletup.

Jadi Tuan Yang di-Pertua janganlah sampai nyawa melayang barulah kita hendak bertindak. Jadi itu sahaja Tuan Yang di-Pertua. Saya mohon menyokong.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air [Puan Noriah binti Kasnon]: Yang Berhormat Tenom telah menyentuh mengenai fungsi SEDA Malaysia terhadap cadangan untuk mengkaji pencemaran alam dari penggunaan teknologi terutama pengguna bateri plumbum.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, tanggungjawab SEDA Malaysia untuk mempromosikan teknologi TBB yang menyumbang kepada kebaikan kepada alam sekitar dan pengurangan carbon dioxide.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, isu penjenayah alam sekitar, TNB dan SESB perlu kenal pasti isu pencemaran alam sekitar daripada bateri plumbum ini seperti yang disebutkan di Pulau Banggi.

Perkara ini merupakan isu-isu pelaksanaan yang khusus dan semua pihak hendaklah sentiasa mematuhi peraturan keselamatan dan perlu ada kesedaran masing-masing mengenai perkara ini.

Bateri asid plumbum adalah dikategorikan sebagai buangan terjadual atau pun schedule wasted dengan izin Tuan Yang di-Pertua di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling Buangan Terjadual 2005.

Sehubungan itu, Pelupusan Buangan Terjadual perlu dilaksanakan di premis yang telah ditetapkan di bawah peraturan tersebut. Oleh yang demikian, pemilik sistem solar tersebut perlu mematuhi perkara ini dalam melaksanakan proses pelupusan bateri plumbum daripada sistem solar.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga industri solar adalah amat menitik beratkan proses penghasilan teknologi solar tanpa memudaratkan alam sekitar. Pihak industri solar juga akan mengitar semula solar panel yang telah tamat jangka hayat memandangkan hampir 80% bahan boleh dikitar semula. Bahan asas yang berasaskan silika atau pun pasir dengan izin adalah amat bernilai untuk dikitar semula.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan air akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dan pihak yang berkuasa yang berkenaan untuk menangani isu pencemaran alam sekitar oleh bateri plumbum ini dengan pihak industri serta orang ramai perlu memberikan kerjasama dengan sepenuhnya.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar Sabah sentiasa bersiap sedia dan bertindak tegas untuk memastikan tiada sindiket-sindiket pelupusan buangan terjadual secara haram berlaku di negeri Sabah.

Disyorkan bahawa Jabatan Alam Sekitar Sabah akan bekerjasama dengan pihak Maritim negeri Sabah untuk memastikan isu pelupusan haram sisa toksik plumbum ini diselesaikan dengan kadar segera terutamanya di perairan Pulau Banggi dan Pulau Balambangan.

Jabatan Alam Sekitar Sabah juga sedang menjalankan kajian bagi pengurusan pelupusan e-waste, dengan izin untuk negeri Sabah.

No comments:

Post a Comment