Saturday 2 April 2011

KENAPA MDT UTAMAKAN PENIAGA LUAR?



Oleh: JACKSON LU

BERPRINSIPKAH MDT memberi keutamaan peniaga luar kawasan berniaga di tapak letak kereta pekan Tenom, sekaligus menjejaskan perniagaan pakaian ‘orang tempatan’ sedangkan ‘orang luar’ itu hanya muncul ketika berlaku pesta keramaian dengan dikenakan bayaran paling minima iaitu sekadar RM2.00 sehari; berbanding dengan peniaga kekal yang dikenakan bayaran lebih mahal.

Ketua Bahagian Liberal Demokratik Party (LDP), Kapitan Ng Tet Hau menyelar keputusan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Tenom sebagai tidak bersesuaian dalam ertikata lain ‘cakap tidak serupa bikin’ apabila membenarkan tapak letak kenderaan digunakan oleh penjual kain dari luar kawasan menjaja di situ.

Keadaan itu menyebabkan ramai pemilik kenderaan merungut dengan keputusan MDT itu kerana MDT telah termaklum bahawa daerah ini kekurangan lot meletakkan kenderaan mereka, tetapi memberi keistimewaan pula kepada peniaga luar. Apakah ‘orang tempatan’ dianak tirikan?

Katanya, beliau kesal kerana sepatutnya lot itu untuk meletakkan kenderaan sahaja sebaliknya mereka dibenarkan pula membina khemah menjaja pakaian di situ, sedangkan di kawasan tamu mingguan masih luas.

“Majlis Daerah memangpun sudah sedia maklum bahawa pekan ini terlalu banyak kenderaan, lagi pun petak letak kenderaan terhad. Kenapa mesti benarkan pula orang luar menjaja pakaian di situ,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau (Ng) seterusnya menegaskan bahawa kehadiran peniaga luar kawasan yang menjaja pakaian disini menjadikan ia suatu persaingan perniagaan yang kurang sihat di kalangan peniaga pakaian kerana harga pakaian mereka lebih murah daripada harga yang dikenakan oleh peniaga tempatan di sini.

Tegasnya, sedangkan kehadiran mereka (peniaga luar kawasan) hanya sekadar sekali sekala dan dikenakan bayaran cukai lebih kurang RM2.00 setiap lot manakala peniaga tempatan (peniaga tetap) membayar cukai lebih mahal dari mereka.

“Saya simpati dengan rintihan mereka yang mereka kirimkan melalui khidmat pesanan ringkas (sms) dan tidak kurang pula menghubungi saya menerusi telefon meluahkan kekesalan mereka kepada saya. Jadi, saya minta agar mereka diberi keadilan sebaik mungkin,” tegas Ng.

No comments:

Post a Comment