Sunday 3 April 2011

LARRY MELUDAH KURUP, TERKENA MUKA YTL?



Oleh: Kalawon PBRS

47 tahun yang lalu, Sook adalah hutan belantara. Kg.Sinua dalam Mukim Lanas terletak dalam daerah Sandakan. Langsung tidak ada sekolah seperti yang diwujudkan, terutama SMK Tulid dan SMK Sook yang ada pada hari ini. Jika wakil rakyat hendak melawat kawasan ini mereka terpaksa menaiki helikopter.

Mantan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Robert Evans (sejak 1974) pasti boleh menceritakan dengan panjang lebar bagaimana sengsaranya beliau menjaga kawasan Keningau termasuklah kawasan yang dipanggil sebagai Sook pada masa kini pada ketika itu.

Mendiang Datuk Mark Koding dan wakil-wakil rakyat yang baru keluar dari universiti ketika itu seperti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan YB Tan Sri Joseph Kurup sendiri tahu bagaimana keadaan Sook ketika itu.

Jalanraya yang ada ketika itu, bukanlah seperti jalan raya yang kita lalui hari ini, malahan lebih buruk. Tanah licin, tanah merah dan langsung tidak ada rumah di sepanjang jalan itu; kecuali pokok-pokok kayu dan semak samun. Jika adapun rumah hanyalah sekadar pondok yang terletak berjauhan dan menggunakan buluh 100 peratus.

Malahan untuk melawat Tulid sahaja, mengambil masa seharian untuk ke kampung itu berbanding sekarang kerana mereka boleh berulang alik ke Keningau, sama ada untuk berbelanja mahupun berurusan. Bukankah ini satu perubahan?

Untuk ke Keningau pada tahun 1970-an penduduk yang tinggal jauh di kawasan terpencil ini mengambil masa berhari-hari berjalan kaki dan bermalam di tengah perjalanan semata mendapatkan secubit garam.

Malahan dalam perjalanan sekalipun mereka sempat berburu. Orang dari kampung ini juga mempunyai kenalan rapat yang dianggap sebagai saudara mereka apabila berada di Keningau kerana mereka akan menumpang bermalam sambil membawa buah tangan.

Tanya kepada orang tua-tua di perkampungan di Sook, apakah kehidupan mereka pada hari ini lebih teruk berbanding hidup mereka di masa yang lalu? Mungkin Larry dan SAPP tidak mengetahui latarbelakang dan sejarah penubuhan Daerah Kecil Sook yang diusahakan oleh mantan Wakil Rakyat Sook iaitu Tan Sri Joseph Kurup.

Daripada usaha gigih beliau, maka wujudlah Urusetia Daerah Kecil Sook sehingga beberapa jabatan telah ditubuhkan bagi memaju dan merancang pembangunan Sook, tanpa perlu merujuk kepada Pejabat Daerah Keningau.

Perumahan telah diberikan kepada penduduk kampung di mukim Lanas menggantikan rumah usang mereka. Rumah-rumah itu masih wujud dan masih digunakan. Malahan ada di antara penduduk ini telah menyahut seruan kerajaan untuk menanam getah. Yang ternyata memberi sumber rezeki kepada mereka meskipun pada ketika itu harga getah sangat murah.

Jalan raya yang baik sehinga ke Sepulut, SMK Sook, bangunan kedai Sook, klinik-klinik di Sook adalah bukti pembangunan berlaku di Sook. Jika tidak ada perubahan yang berlaku sejak 47 tahun yang lalu, mustahil bangunan, jalan raya dan kemudahan itu wujud sendiri.

Fahamilah dasar-dasar kerajaan terlebih dahulu sebelum menghentam kerajaan. SAPP juga pernah menjadi kerajaan dan apakah perubahan yang dibawakan oleh SAPP, selain kesusahan dan penderitaan disebabkan oleh pengenalan FMU?

Atau adakah sememangnya generasi SAPP ini hanya suka dengar sebelah pihak tanpa mengkaji terlebih dahulu.

Kata-kata kesat Larry yang mengaku diirinya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda SAPP Pedalaman melalui Sabahkini.net mempersendakan PBRS yang menerima keahlian SAPP, membuktikan kedangkalannya.

Beliau bersungguh-sungguh mahu meludah Kurup, tetapi muka Datuk Yong Teck Lee yang terkena. Jika tidak berpuas hati dengan artikel dalam suratkhabar, turun padang dan tanya kenapa mereka meninggalkan SAPP. Bendera SAPP di rumah Puan Mina Ambiru di Kg.Sarikan, Nabawan telahpun diturunkan.

Tidak perlulah memutar belitkan apakah sumbangan yang diberikan oleh Kurup di Sook apatah lagi kerana memperbodohkan diri mengakui Sook pada masa kini masih ditakuk lama, kerana banyak perubahan berlaku di Sook di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN). Sook adalah lebih baik di masa kini berbanding di masa lalu. Perubahan dan kemajuan Sook banyak dilakukan semasa Kurup sebagai Wakil Rakyat Sook.

No comments:

Post a Comment