Sunday 3 April 2011

PRESIDEN SAPP JANJI PALSU?



Oleh: MEDIA PBRS

SOKONG…. Kurup bersma mantan Ketua Cawangan SAPP (kiri) Lakim, Ketua Cawangan PBRS, Etingan @Ismail dan Minah, mantan ketua cawangan SAPP (kanan).

PARA ahli dua parti pembangkang yang selama ini terbuai oleh mimpi di siang hari di kawasan luar bandar hari ini mengambil keputusan untuk meninggalkan serta membubarkan cawangan Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang langsung tidak dapat menunaikan janji-janji mereka dalam membela nasib rakyat; setelah hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti tersebut.

Lakim Andikol, 37, mantan Ketua Cawangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kg.Sarikan berkata, parti itu di Nabawan bukan sahaja kucar-kacir dengan masalah dalaman dan luaran, malah tidak ada perkembangan terkini yang menjurus kepada soal membela nasib rakyat.

"Kami penat dengan masalah parti ini yang sering bergolak, mereka tidak bekerja untuk rakyat, sebaliknya seolah-olah mempermainkan rakyat," kata Lakim yang ditemui Media PBRS di Kg.Sarikan.

Kata Lakim, mereka sedar bahawa kerajaan bersungguh-sungguh memperbaiki taraf hidup seperti penyerahan bantuan ‘1Azam’, bantuan kebajikan dan juga bantuan rumah yang disalurkan oleh kerajaan. Malahan dari segi menjana sosio ekonomi penduduk kampung itu juga diberi tunjuk ajar memelihara ternakan seperti kambing dan itik untuk menambah pendapatan.

"Kebaikan kerajaan yang bersungguh-sungguh dan sepatutnya inilah yang kita sokong,” kata Lakim yang turut membubarkan cawangan PKR di kampung tersebut dan menyertai BN melalui PBRS yang telah membuka mata mereka bahawa kerajaan BN adalah kerajaan yang prihatin.

Beliau berkata demikian di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Penyerahan Borang Keahlian dan Perasmian Cawangan PBRS Kg.Sarikan, Nabawan. Borang permohonan keahlian diserahkan kepada Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan. Turut hadir sama Timbalan Presiden PBRS, Datuk Ellron Angin dan Ketua Bahagian PBRS Nabawan, Paul Yambak.

Sementara itu , mantan Ketua Cawangan SAPP, Minah Ambiru @ Angdasab, 48, berkata, SAPP bersama dengan Presidennya, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee telah datang ke kampung itu pada tahun 2009 dan menubuhkan cawangan parti itu.

“Sejak dari itu mereka langsung tidak datang ke sini mahupun wakil dari pucuk pimpinan. Justeru itu kami mengambil keputusan untuk meninggalkan perjuangan parti ini yang tidak memperjuangkan nasib kami seperti mana yang mereka janjikan,” kata Minah.

SERAH…. Penyerahan borang keahlian oleh Etingan kepada Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup.

Katanya, arwah bapa beliau (Minah) pernah dijanjikan oleh Presiden SAPP, akan membantu menggantikan atap rumah (beliau) yang uzur sebanyak 10 keping ketika itu kerana rumah tersebut menjadi tempat pelancaran majlis.

Namun kata Minah, sehingga bapa beliau meninggal, SAPP mahupun Datuk Yong Teck Lee tidak pernah menunaikan janji mereka, walaupun ia sebenarnya hal yang kecil bagi mereka. Bagaimanapun kata Minah, beliau tidak ambil hati dengan keadaan tersebut, kerana ia telah berlaku dan mereka dipinggirkan begitu sahaja oleh pucuk pimpinan yang kononnya memperjuangkan rakyat.

Katanya, mereka memilih PBRS kerana melihat pembangunan yang dibawakan oleh parti itu kepada rakyat di kawasan luar Bandar.

Sempena majlis itu, seramai 171 borang keahlian diserahkan oleh Ketua Cawangan PBRS Kg.Sarikan, Etingan @ Ismail Songoro kepada Kurup.

Kurup yang mengalu-alukan penyertaan itu berkata, rakyat menerima perjuangan parti itu yang komited kepada rakyat terutamanya usaha membasmi kemiskinan.

No comments:

Post a Comment