Oleh : NOOR HALIM BIN DATUK HJ. ZAINI
KESEDARAN dan kejujuran daripada semua pihak boleh mencapai matlamat ini. Ini ada satu cerita untuk kita renungkan sebelum kita membincangkan lebih lanjut isu tersebut.
Petani bernama Gaman memiliki 10 ekar kebun buah-buahan yang beraneka jenis, tetapi kerana kekurangan ilmu pengetahuan dan modal pusingan dalam perniagaan; maka setiap musim buah-buahan tidak diambil dan dijual.
Al-kisah ada seorang yang pintar dan tahu selok-belok perniagaan yang bernama Dato' Kassim yang mengetahui potensi sebenar kebun tersebut telah berjumpa dengan Si Gaman dan memberi cadangan perniagaan yang berbunyi seperti berikut;
“Saya ambil alih pengurusan kebun saudara dengan bayaran 5% hasil jualan kasar buah-buahan dari kebun tersebut”. Dengan keadaan Si Gaman yang serba kekurangan, tanpa mengetahui berapa nilai sebenar hasil buah-buahannya dan terus bersetuju menerima cadangan itu.
Selepas sahaja si Gaman bersetuju dan menandatangani persetujuan cadangan tersebut, Dato Kassim terus mencari kawannya yang pakar dalam bidang pertanian yang bernama Van John dengan cadangan pengambilahlihan pengurusan kebun Si Gaman dengan cadangan bayaran 30% hasil pengeluaran kebun buah-buahan tersebut.
Dalam perjanjian tersebut Dato Kassim juga memberi syarat tambahan bahawa kos penyelenggaraan dan pengeluaran ditanggung dahulu oleh Van John dan akan dibayar balik jika ada keuntungan hasil jualan buah buahan tersebut.
Selepas hasil dikeluarkan, keuntungan dibayar kepada Van John termasuk kos pengeluaran sebanyak 60% dan Dato Kassim telah mendapat keuntungan bersih sebanyak 35% selepas membayar sebanyak 5% kepada Si Gaman.
Bila dilihat dari lahiriah perjanjian di atas tidak ada salahnya. Gaman menerima perjanjian tanpa usul periksa kerana kekurangan pengetahuan; Van John menerima perjanjian kerana yakin akan keuntungan yang bakal diperolehinya dan Dato Kassim berani bertindak begitu rupa kerana dia tidak mengeluarkan sebarang modal perniagaan dan yakin atas potensinya.
Tetapi jika difikirkan secara adil dan penuh keinsafan, perjanjian ini adalah berat sebelah dan dikategorikan sebagai penindasan.
Dalam ugama Islam itu sendiri tidak mengalakkan pengambilan untung yang berlebihan. Si Gaman adalah pemilik tanah dan juga berkerja keras menanam buah-buah tersebut hanya mendapat 5%; sedangkan satu ketika nanti pokok buah-buahan akan berhenti berbuah.
Dato Kassim yang tidak mengeluarkan modal dan tidak mempunyai kepakaran dalam pertanian pula mendapat 35%, manakala Van John seharusnya layak menerima keuntungan 30% kerana ia bekerja keras dalam pengeluaran hasil buah-buahan tersebut.
Merujuk kepada rencana saya sebelum ini di Sabahkini.net, saya telah menerima pelbagai kritikan pro dan kontra.
Saya sengaja menulis satu rencana yang ringkas bagi membolehkan kebanyakan kumpulan pembaca boleh memahami kandungan rencana saya dan cuba mengelakkan penggunanaan banyak ungkapan yang jarang digunakan dan pengiraan yang rumit.
Ada pembaca mahu saya membuktikan dengan lebih terperinci bagaimana saya dapat angka-angka tersebut. Sebenarnya apa yang saya tulis sebelum ini boleh didapati dari berbagai-bagai sumber, tekan saja dalam pencarian Yahoo 'Oil production, Sabah' semua yang saya tulis boleh didapati di situ.
Ada juga pihak cuba menegakkan benang basah dan ada pula yang cuba mengalihkan tujuan rencana ini ditulis. Mengikut seorang pembaca, pendapatan kasar Sabah US12 tidak logik kerana mengikut beliau Laporan Kewangan Petronas Bagi Tahun 2011, Keuntungan bersih dalam pengeluaran minyak hanya USD 10.8 billion dan pengeluaran gas menyumbangkan USD 2 billion.
Saya cuba membincangkan industri minyak dan gas di Sabah dan bagaimana Sabah negeri termiskin di Malaysia ini boleh boleh dimajukan dengan pendapatan dari sektor industri tersebut.
Bagaimana PETRONAS mengendalikan operasi dan pelaburan dan sama ada untung atau rugi adalah tidak perlu disentuh di sini kerana saya cuba mencadangkan bagaimana Sabah boleh mendapat 100% keuntungan hasil minyak dengan menjadikan dirinya berstatus 'Pemilik'.
Takungan minyak Kikeh, Murphy Oil boleh mencapai pengeluaran minyak 125,000 bbl/d; Takungan minyak Gemusut Field, Shell boleh mencapai pengeluaran minyak 135,000 bbl/d dan telaga minyak Wakid, Petronas Carigali boleh mengeluarkan minyak sebanyak 8200 bbl/d.
Jumlah ini belum mengambil kira terminal minyak dan gas Sabah di Kimanis (SOGT) yang jika siap kelak akan boleh mengeluarkan 300,000 bbl/d. Jika dilihat keupayaan pengeluaran minyak Sabah, tidak keterlaluan saya katakan bahawa pengeluaran minyak Sabah boleh dicapai sebanyak 300,000 bbl/d.
Maksudnya 300,000 ribu barrel minyak dapat dikeluarkan dalam sehari. Harga pasaran masa kini melebihi USD 100 dalam satu barrel. Jika kita mengambil harga minyak USD 100 sebarrel, bererti pendapatan kasar Negeri Sabah dalam pengeluaran minyak mentah sahaja adalah hampir USD 11 billion setahun.
Ini belum mengambil kira pendapatan dari hasil jualan gas asli dan penghasilan minyak dan gas dari kawasan sempadan antara Sabah dengan Vietnam dan sempadan antara Sabah dengan Brunei.
Berbalik kepada cerita tersebut di atas, diharap menteri-menteri kita dapat membuat satu perjanjian yang adil dan beretika bagi mengelakkan ada pihak yang tertindas. Perjanjian Petroleum yang sebelum ini telah digubal oleh manusia dan ini bererti masih boleh diubah mahu pun dibatalkan sama sekali.
Dengan adanya pemimpin yang bersikap jujur dan beretika, perkara ini boleh diselesaikan bagi membolehkan Negeri Sabah menjadi pemilik kepada minyak dan gas di negeri ini sekali lagi.
Untuk maklumat pembaca, Negeri Sabah mempunyai simpanan minyak sehingga hari ini sebanyak hampir 2 billion barrel minyak mentah dan dengan kata lain kita mempunyai lebih kurang USD 200 billion (RM600,000,000,000) simpanan dalam bentuk minyak mentah.
Kalau wang ini digunakan sebanyak USD 2 billion setahun untuk memajukan Negeri Sabah ini, kita memerlukan 100 tahun untuk menghabiskan wang minyak ini, tetapi saya yakin kita akan mendapat lagi telaga minyak baru pada masa-masa akan datang.
Semoga Rakyat Sabah dapat melihat potensi hasil minyak dan gas milik kita. Mari kita berusaha ke arah mencapai matlamat untuk memiliki kembali minyak dan gas negeri ini.
Pada masa yang sama kita berharap saudara-saudara senegara kita dari Semenanjung Malaysia harus sedar perjanjian minyak tidak beretika ini mengakibatkan negeri ini menjadi negeri termiskin di Malaysia. Kasihan Si Gaman!
No comments:
Post a Comment