Tuesday 27 March 2012

RM880 JUTA PROJEK TEBATAN BANJIR



KERAJAAN sedang menjalankan sejumlah 32 projek tebatan banjir menelan belanja RM880 juta di seluruh negara bertujuan mengurangkan kesulitan rakyat akibat bencana banjir, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau berkata projek berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

"Ianya melibatkan pembinaan tambatan banjir termasuk di Sabah dan Sarawak serta kerja membersih sungai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Sumber Air Asia (AWARE) 2012 di Kuala Lumpur, Isnin.

Persidangan tiga hari itu bertemakan: Bencana Air Yang Menyeberangi Sempadan: Pengajaran Daripadanya, yang dihadiri lebih 700 peserta dan pempamer dari 40 negara.

Joseph berkata untuk menyelaras projek berkenaan, enam peta bahaya banjir sudah disiapkan bagi Sungai Muar, Sungai Kulai, Sungai Kinta, Sungai Selangor, Sungai Muda dan Sungai Kedah, manakala bagi Sungai Pahang sedang disediakan. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment