Friday 30 March 2012

AWAS IKAN BOM DI PASARAN!

Oleh : JESMIND RANGILIN

SEJAK akhir-akhir ini, kita selalu terbaca dalam kolum akhbar-akhbar tempatan mengenai aduan awam, adanya aktiviti terlarang seperti kegiatan mengebom ikan di perairan Sabah.

Kes-kes tangkapan yang dibuat oleh Agensi Penguatkuasa di Sabah berkenaan kesalahan memiliki ikan yang tangkap menggunakan bahan terlarang bom ikan yang terbaru ini di daerah Semporna dan dua hari lepas di Kota Kinabalu hasil maklumat orang awam.

Dalam usaha membasmi kegiatan mengebom ikan ini, aktiviti kempen kesedaran kepada orang ramai telah mula dilancarkan di daerah Pitas pada 03 Mac, 2012 dan akan diteruskan ke daerah-daerah pantai Timur seperti Semporna dan Kunak.

Kempen Anti Penggunaan Bom Ikan ini objektifnya adalah meningkatkan kesedaran orang awam tentang bahaya dan keburukan penggunaan bahan letupan untuk menangkap ikan kepada sumber semulajadi dan bahaya kepada keselamatan diri sendiri.

Rencana kali ini memfokuskan kepada pengenalan kepada spesis-spesis ikan yang ditangkap menggunakan terlarang bom ikan serta ciri-ciri luaran dan dalam ikan yang disyaki di tangkap menggunakan bahan letupan.

Spesis-spesis ikan yang sering dibom dan berada dalam pasaran ialah seperti Ikan Sulig, Ikan Anjang-Anjang, Ikan Putih, Ikan Merah, Ikan Batu, Ikan Belais (sekadar menyebut spesis ikan yang menjadi sasaran popular yang dikenalpasti selalu ditangkap menggunakan bahan terlarang bom ikan).

Berikut ialah ciri-ciri ikan yang ditangkap dengan bom ikan;

Ciri-ciri Fizikal

-Sebahagian badan hancur

-Badan kelihatan lambik dan bengkak

-Tanda cairan darah di bahagian sebelah bawah sirip sekitar perut dan sepanjang badan.

Ciri-Ciri dalaman

-Tulang belakang hancur

-Bahagian tulang rusuk hancur bagi ikan kecil

-Bahagian usus hancur

-Pecah pada bahagian salurnadi

-Buah pinggang pecah

-Pundi udara rosak

-Pendarahan di sekitar bulatan mata

-Darah mengalir dari penutup insang

Kita berharap dengan pendedahan ciri-ciri fizikal dan dalaman serta spesis-spesis ikan yang menjadi sasaran popular oleh para penjenayah sumber marin dan alam sekitar ini para pengguna dan orang ramai mendapat gambaran sebenar bila berada pasar ikan untuk membeli keperluan makanan basah seperti ikan, kesan sampingan kalau dimakan; kualiti protein yang rendah (hancur) dan boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak dan orang dewasa (perubahan genetik atas perubahan tekanan).

No comments:

Post a Comment