Wednesday 28 March 2012

HANYA 4,000, BUKAN 40,000


EKSKLUSIF……Sabahkini.Net sedang mewawancara Hj Hisham mengenai isu pendafatan bergerak JPN yang disalah tafsir ramai pihak.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : RONEL ISRAEL

SEBELUM Program Pendaftaran Bergerak untuk Sijil Daftar Lewat dan MyKad yang dikendalikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), khususnya di daerah Semporna, memang diakui terdapat beberapa orang tengah yang mengambil kesempatan menjadi agen untuk mencari pelanggan, sama ada orang tempatan atau orang asing dengan mengenakan bayaran antara RM600 hingga RM1,000.

Orang tengah ini kononnya mewakili Ahli Parlimen Semporna, sebenarnya hanya menjual nama Datuk Seri Hj Shaffie Hj Apdal untuk mencari keuntungan bagi kepentingan sendiri dan bukan diarah oleh mana-mana pihak.

Rahsia ini didedahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Hj Shaffie Hj Apdal, Hj Hisham Hj Abd Fattah dalam satu temubual ekskusif dengan Wartawan Kanan Sabahkini Net di pejabatnya di Semporna, kelmarin.

Hj Hisham ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Anifah Hj Aman yang tersiar di Sabahkini.Net kelmarin pada 27 Mac 2012 bertajuk 'Hentikan Pendaftaran Bergerak Di Senallang' sebagai tidak wajar.

"Kenapa Menteri Luar campurtangan dalam hal ini sedangkan program ini telah mendapat kelulusan rasmi oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Hishamuddin Tun Hussien?" tanya Haji Hisham.

Kata Haji Hisham, dalam kenyataan Hanifah bahawa dalam tempoh sebulan pendaftaran bergerak di Senallang bagi mendaftar 40,000 orang adalah tidak benar dan sengaja direka-reka untuk mengelirukan rakyat dan para pemimpin kerajaan BN dan UMNO.

Kata Hj Hisham lagi, program tersebut yang berjalan hampir sebulan hanya mensasarkan seramai 4,000 orang sahaja yang melibatkan kanak-kanak sekolah dari tahun satu hingga tahun 6.

"Mereka ini telah dikenal pasti tidak mempuyai sijil lahir sedangkan ibubapa mereka adalah rakyat tempatan Semporna dan didaftarkan untuk mendapatkan Sijil Kelahiran Daftar Lewat yang sedang dalam proses 262 orang yang sedang menunggu endorsement daripada Mahkamah," kata Haji Hisham yang menjelaskan gerakerja dilakukan mengikut prosedur JPN.

Program Pendaftaran Bergerak Daftar Lewat dan Mykad kata Haji Hisham, adalah tertumpu di sekolah-sekolah sahaja kerana terdapat 864 murid sekolah rendah dan menengah telah dikenali pasti tidak mempunyai sijil lahir walaupun kedua ibu bapa mereka adalah Warganegara Malaysia.

"Dengan bantuan daripada guru-guru sekolah berkenaan, Jabatan Pendafaran Negara (JPN) telah mengenal pasti murid-murid yang tidak mempunyai sijil lahir telah berjaya mendaftar nama mereka bukan saja untuk mendapat Sijil Lahir Daftar Lewat, bahkan MyKad untuk penuntut tingkatan 1 hingga tingkatan 6.

Dalam hal ini, kata Haji Hisham, mungkin Anifah mendapat maklumat silap yang berpunca Mansur Hj Santiri yang berlindung di sebalik nama Persatuan Bumiputera Bajau Semporna (PERBUBAS) iaitu seorang penyokong kuat parti pembangkang.

"Sebenarnya, Mansor Santiri adalah salah satu agen sindiket haram yang terlibat dalam pemalsuan Sijil Lahir Daftar Lewat dan Mykad yang memangsakan PATI dengan meminta bayaran lumayan, kononnya sebagai agen kepada JPN," kata Haji Hisham yang menyifatkan pengakuan Mansor hanyalah dusta semata-mata dan merasa tertekan kerana periuk nasinya pecah melalui Gerakerja Pendaftaran Bergerak.

Kata Haji Hisham lagi, kini orang Semporna tahu siapa Mansor Santiri yang menggunakan PERBUBAS untuk mengaut kepentingan diri dengan menimbulkan propaganda, di samping melaksanakan agenda politiknya menentang kerajaan.

"Saya harap agar Anifah turun gelanggang menjalan siasatan rapi sebelum percaya dengan fitnah yang ditabur Mansor. Kita sedia membantu Anifah memberikan maklumat yang tepat," pelawa Haji Hisham lagi.

Dalam keadaan sekarang, kata Haji Hisham, adalah tidak mungkin untuk menghentikan pendaftaran bergerak berkenaan kerana akan menggelapkan masa hadapan kanak-kanak sekolah yang berhadapan dengan krisis identiti.

“Jangan bimbang, kami bukan pengkhianat dan kita tidak akan bersekongkol dengan Mansor untuk mendaftar PATI dan akan mempertahankan warganegara Malaysia yang menghadapi masalah identiti sebagaimana yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan," kata Haji Hisham yang meminta rakyat Sabah jangan mengaitkan kisah silam dengan senario yang berlaku sekarang.

No comments:

Post a Comment