Wednesday 28 March 2012

KERAJAAN NEGERI PUNCA SEMPORNA BANDAR SAMPAH



Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto : SYAHADAH YAHYA

SISTEM pelupusan sampah di pekan Semporna yang kini menjadi isu hangat di kalangan penduduk setempat, terutama setelah mereka menderita berpuluh tahun lamanya kerana terpaksa menghidu bau busuk dan asap yang bukan alang kepalang; malah turut mengganggu penumpuan pelajaran anak-anak mereka.

Pihak berkuasa tempatan sudahpun berusaha sedaya upaya mencari tapak baru untuk menggantikan tapak pelupusan sampah yang sedia ada, sama ada menggunakan tanah kerajaan yang dipohon atau melalui pengambilan tanah; tetapi telah masih menemui jalan buntu akibat karenah birokrasi oleh orang tertentu.

Sebagai Ahli Parlimen Semporna, Datuk Hj Mohd Shafie Hj Apdal telah memainkan peranannya bagi mengatasi masalah ini dan dengan tegas mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Majlis Daerah Semporna (MDP) dan Pejabat Daerah untuk mengatasi masalah timbunan sampah sarap yang terdapat di pekan Semporna, terutama yang terletak berdekatan dua sekolah.

Masalah tanah, kata Ketua Pegawai Perhubungan Kepada Datuk Seri Hj Mohd Shafie Hj Apdal iaitu Hj Hisham Hj Abd Fattah kepada Sabahkini.Net kelmarin; adalah punca sebenar kerana di peringkat daerah, permohonan tanah tiada masalah; tetapi apabila sudah sampai di peringkat Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah yang tertakluk kepada kelulusan Ketua Menteri Sabah, semuanya jadi terbantut.

"Mereka tidak mahu masuk campur tangan untuk menangani segala permasalahan yang dihadapi rakyat dan yang kena kesan negatifnya adalah Ahli Parlimen Semporna dan ADUN Sulabayan, Senallang dan Bogaya dan tempiasnya juga adalah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO juga," kata Haji Hisham.

Menurut Haji Hisham lagi, sudah berkali-kali Majlis Daerah Semporna memohon tanah untuk kawasan pelupusan sampah, tetapi tiada sebarang reaksi dan tindakan diambil oleh Jabatan Ketua Menteri; sedangkan mereka tahu punca masalah besar di Semporna ialah tempat pelupusan sampah.

"Saya menyifatkan Ketua Menteri Sabah seolah-olah 'Anti-Pembangunan'. Di Semporna banyak projek yang dipohon untuk kepentingan rakyat di sini, tetapi malangnya, semuanya diketepikan ekoran tindakan pucuk pimpinan BN/UMNO yang membantutkan usaha untuk membangunkan infrastruktur di Semporna yang telah mencemar dan sekaligus menjatuhkan imej kerajaan Sabah," tegas Haji Hisham tanpa berselindung.

Sabahkini.Net yang turun padang ke Semporna, telah membuat tinjauan ke tempat yang dikenal pasti yang bermasalah, terutamanya di kawasan tengah-tengah Jalan Bandar Baru dan tempat pusat pelupusan sampah di SK Pekan II.

Haji Hisham turut menyentuh mengenai kerosakan jalanraya yang terdapat di tengah-tengah bandar di Semporna adalah di bawah kawalselia oleh syarikat konsesi penyelenggaraan yang dilantik oleh kerajaan negeri iaitu Kekal Mewah Sdn Berhad dan Globinaco Sdn Bhd.

Semua ini, kata Hj Hisham adalah kegagalan total syarikat-syarikat tersebut yang bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan kerosakan jalan yang dimaksudkan dan bukannya masalah Datuk Shafie.

"Begini sajalah. Dipendekkan cerita, ada baiknya saya cadangkan syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan negeri dan Ketua Menteri (Kekal Mewah dan Globinaco) mengambil alih kerja-kerja pelupusan sampah di Semporna," cadang Haji Hisham sebagai formula terbaik mengatasi masalah yang berlarutan sejak berpuluh tahun lalu kerana Majlis Daerah Semporna sukar mendapat tanah untuk dijadikan tapak pelupusan sampah secara kekal.

“Barangkali dengan adanya syarikat Kekal Mewah dan Globinaco yang mengambil alih kerja pelupusan sampah, sudah tentu Ketua Menteri dengan segara meluluskan permohonan untuk tapak tersebut,” sindirnya lagi.

No comments:

Post a Comment