Saturday 31 March 2012

ISU SAMPAH SELESAI, ISU JALAN MASIH BUNTU


WAWANCARA.... Sabahkini.Net sedang mewawancara A.M.Ibnu mengenai masalah Semporna.

Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto : AZIZUL SANARUL

KEROSAKAN jalan raya yang terdapat di Pusat Bandar Semporna dan kawasan-kawasan lainnya adalah berpunca daripada kegagalan kerja-kerja penyelenggaraan oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan Negeri iaitu Kekal Mewah Sdn Bhd dan Syarikat Globinaco.

Bagaimanapun Majlis Daerah Semporna (MDS) dan Pejabat Daerah yang merupakan agensi kerajaan tetap akan terus memainkan peranaan penting ke arah memantau dan mengambil sebarang langkah dalam menangani semua permasalahan yang sedang melanda daerah Semporna.

Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Pegawai Daerah Semporna, Abdul Mohd Ibnu Abdul Kadir dalam satu temubual khas dengan Wartawan Kanan Sabahkini.Net yang dalam rangka tugasnya ke Semporna di pejabatnya, kelmarin.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak Sabahkini.Net kerana menghantar wartawannya menjelajah ke beberapa tempat di daerah Semporna untuk mengenal pasti beberapa masalah yang sedang dihadapi daerah ini,” ujar A.M.Ibnu.

A.M.Ibnu menegaskan terdapat dua jenis jalan raya yang terdapat di daerah Semporna iaitu jalan negeri yang ditadbir Majlis Daerah Semporna (MDS) dan jalan persekutuan yang ditadbir oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

BERLUBANG.....Nordin Ajirul Penduduk Kg Senallang menunjukan jalan berlubang di jalan Baru yang tidak diselenggarakan oleh Kekal Mewah dan Globinaco.

Kerajaan Negeri Sabah, kata A.M.Ibnu telah melantik dua syarikat konsesi iaitu Kekal Mewah dan Globinaco untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di bawah tadbir urus MDS.

“Saya perlu jelaskan di sini masyarakat di Semporna mungkin tidak sedar wujudnya syarikat konsesi tersebut bagi menyelenggara kerosakan jalan dan sering menuding jari kepada MDS jika berlaku kerosakan, tetapi MDS terpaksa berdiam diri dan tidak membuat sebarang kenyataan akhbar kerana tidak ingin mengeruhkan keadaan," kata A.M.Ibnu.

Bagaimanapun kata A.M.Ibnu, semua teguran yang diterima daripada masyarakat dan media dibawa ke meja mesyuarat di MDS untuk mencari jalan penyelesaian semua isu yang dibebankan kepada kerajaan, termasuk sampah sarap, kerosakan jalan raya, sistem perparitan dan sebagainya.

"Setakat ini kita tidak tahu apa sudah perancangan syarikat konsesi tersebut terutama Kekal Mewah Sdn.Bhd untuk mengatasi semua masalah yang telah kita salurkan kepada mereka dan ini telah menimbulkan keraguan dan tandatanya kepada kita.

"Peranan apakah yang mereka (Kekal Mewah dan Globinaco) mainkan bagi mempertingkatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf jalan yang yang diserahkan kepada mereka. Kita harap mereka akan proaktif dan menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah," kata A.M.Ibnu lagi.

Bercakap mengenai Pusat Pembuangan Sampah di SK Pekan II, Semporna, A.M.Ibnu menegaskan pusat tersebut sudahpun ditutup seminggu lalu dan telah dipindahkan ke tapak baru iaitu di Jalan Pantai buat sementara waktu.

Kata A.M.Ibnu, pihaknya masih menunggu Pusat Pelupusan Sampah yang kekal di Tagasan diserahkan kepada MDS oleh kontraktor yang dilantik setelah siap kelak.

Pusat Pembuangan Sampah di SK Pekan II kata A.M.Ibnu sudah wujud sekal 30 tahun dahulu sebelum pembinaan sekolah dan perkampungan di sekeliling kawasan tersebut.

"Pada mulanya tempat ini agak jauh daripada kampung dan dua buah sekolah berkenaan. Kita kesal kerana semasa mereka mahu membina sekolah tersebut dan kampung di sekelilingnya dahulu, mereka gagal mengemukakan plan induk kepada MDS untuk kelulusan," kata A.M.Ibnu.

Kata A.M.Ibnu, memandangkan tapak pembuangan sampah tersebut sudah lama wujud, maka jika mereka mengemukakan plan induk kepada MDS, sudah tentu akan ditolak kerana kedudukan bangunan sekolah dan kampung di persekitaran memang tidak sesuai.

Selaku Pengerusi MDS, A.M.Ibnu berkata beliau sentiasa memang mengambil inisiatif untuk menangani segala masalah yang terdapat di Semporna tetapi tertakluk kepada bidang kuasa yang terhad, maka semua pihak menyalahkan MDS.

“Kegagalan pihak konsesi yang diamanahkan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan menyebabkan masyarakat menuding jari kepada MDS sambil melemparkan pelbagai tohmahan-tohmahan yang tidak berasas," kata A.M.Ibnu yang memaklumkan MDS hanya mampu menulis surat atau berbincang dengan syarikat konsesi berkenaan kerana syarikat konsesi tertakluk kepada perjanjian yang dibuat di antara Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP).

A.M.Ibnu menambah, isu sampah sudah selesai tetapi mengenai pembangunan prasarana lain akan dinyatakan pada episod akan datang melalui 'Ops Wawasan' bersama Sabahkini.net bagi meninjau keadaan yang sebenarnya.

No comments:

Post a Comment