Thursday 29 March 2012

DAFTAR SEBELUM AHAD, SEMPAT MENGUNDI


RAKYAT Malaysia yang mendaftar sebagai pemilih sebelum Ahad ini berpeluang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), jika pilihan raya diadakan selepas bulan Jun tahun ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata daftar pemilih bagi suku pertama tahun ini akan berakhir pada 31 Mac dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun (DPT ST) 1/2012 dijangka diwartakan pada bulan Mei ini.

"Kalau (pemohon) tidak terlibat dengan bantahan, mereka layak mengundi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Rabu.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas sama ada rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi pada suku tahun pertama tahun ini layak untuk mengundi pada PRU-13 sekiranya pilihan raya UMUM diadakan pada bulan Jun ke atas.

Pada masa yang sama, Abdul Aziz berkata proses pendaftaran pemilih masih diteruskan melalui Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-SPPST) di mana proses pendaftaran dijalankan setiap hari manakala proses semakan dan mewartakan daftar pemilih dijalankan setiap tiga bulan sekali. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment