Saturday 24 March 2012

IMM13, WARGANEGARA SONGSANG II (EPISOD III)


EPISOD I

EPISOD II


Oleh : MUTALIB M.D

EKORAN daripada itu, Zainuddin telah membuat laporan polis pada 7 Disember 2007 di Balai Polis Sandakan melalui laporan bernombor SKN/RPT/14268/07 yang berbunyi;

“Pada jam lebih kurang 12 tengah hari, 2 Disember 2007, seorang nelayan, Bistari, di Kudat telah membuat aduan rasmi kepada saya bahawa terdapat lebih 300 nelayan asing membanjiri Kudat dan menjalankan kegiatan menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda. Namun dalam beberapa operasi, beberapa nelayan asing berkenaan ditangkap. Keluarga nelayan asing berkenaan menghubungi Bistari untuk meminta agar ketua keluarga mereka (nelayan asing) dibebaskan kerana mempunyai pas yang sah. Namun apabila Bistari menemui pegawai Imigresen Kudat, Haji Hassan untuk tujuan pengesahan pas, beliau memaklumkan bahawa Pas IMM13 yang ditunjukkan kepadanya palsu dan merampas pas berkenaan. Namun setelah keluarga nelayan asing mengugut untuk membuat laporan polis, Haji Hassan mengembalikan pas berkenaan dengan syarat mereka tidak membuat laporan polis. Oleh sebab yakin bahawa nelayan yang ditangkap tidak bersalah dan Pas IMM13 dikeluarkan dengan cara yang sah, maka ahli keluarga mangsa bersepakat untuk membuat laporan polis.

"Namun oleh kerana mereka bimbang akan ditangkap kerana menggunakan pas IMM13 yang dikeluarkan oleh sindiket yang sama, maka mereka mewakilkan Bistari berkenaan membuat aduan rasmi kepada Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur untuk membebaskan lebih 15 nelayan asing yang ditahan atas tuduhan memiliki IMM13 palsu. Bagaimanapun Bistari terus menghubungi saya untuk membuat laporan agar polis dan Imigresen menjalankan siasatan dan menangkap seorang lelaki bernama ‘Ah Cai’ yang menjadi tekong darat dan agen pengeluaran pas IMM13 berkenaan yang dipercayai dibuat oleh sebuah sindiket dengan kerjasama pegawai Jabatan Imigresen Kudat. Memandangkan kegiatan mengeluarkan pas IMM13 ini dilakukan secara berleluasa kepada warga Filipina berbangsa Visaya (Kristian) yang memasuki Sabah antara satu minggu hingga tiga tahun, maka ia mengancam kedaulatan dan keselamatan negara ini. Saya datang ke Balai membuat laporan polis. Sekianlah laporan saya.”

LAPORAN.....Pernahkah polis menyiasat laporan polis ini?

Bagi saya adalah agak mustahil untuk mencapai Wawasan PATI Sifar pada tahun 2020 jika mereka dibenarkan mendarat di negara ini sebelum tindakan 'MEMBURU' mereka seperti 'MEMBURU PELANDUK' dilakukan. Pelanduk ditembak, rusa yang kena, bila dilihat gajah yang mati.

Di bawah Akta Imigresen Malaysia, jika seorang imigran dapat ditahan, ia akan dipenjarakan dan dihantar kembali ke negara asal jika melanggar mana-mana syarat yang terkandung dalam akta tersebut; yang antara lain membenarkan pegawai-pegawai imigresen untuk menahan dan melakukan operasi tanpa waran dan untuk menahan sesiapa selama 30 hari.

PALSU… Sticker palsu untuk pemegang IMM13 ini mengancam keselamatan negara, namun polis dan pihak berkuasa seolah-olah tidak berminat kerana boleh menjana sumber pendapatan tambahan.

Mengikut maklumat diterima, lebih 12,000 pas seumpama ini dikeluarkan kepada warga Filipina di seluruh Sabah, terutama berbangsa Visaya sedangkan pas ini khas untuk pelarian perang Filipina yang beragama Islam.

RESIT… Resit palsu ini menyebabkan kerajaan kerugian berjuta ringgit, namun Jabatan Imigresen hanya menutup mata.

Beban bukti terletak pada bahu imigran. Pendatang asing perlulah menunjukkan bahawa mereka berada di Malaysia dengan sah; beban ini bukannya terletak pada bahu pegawai imigresen.

Jika disabit kesalahan, seorang imigran akan dihantar ke kem-kem tahanan untuk menunggu hantaran kembali ke negara asal.

Walaupun ramai di antara imigran ini dilindungi atau berselindung di kawasan setinggan, namun usaha penggempuran berterusan mampu mengurangkan jumlah mereka terutama yang terlibat dengan gejala pengedaran syabu, penyeludupan, pelacuran, perjudian haram dan pemalsuan dokumen.

TANGKAP?.....Mengikut undang-undang, APMM tidak boleh menangkap PATI di laut sehinggalah mereka mendarat? Siapa yang gubal undang-undang Malaysia?

Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan 10 buah agensi yang bertanggungjawab mengawal dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan maritim negara seluas 138,997 batu nautika.

Sehubungan itu, kerajaan mewujudkan sebuah Pusat Penyelarasan dan Penguatkuasaan Maritim (PPPM) yang berpangkalan di Lumut, Perak untuk menyelaraskan semua bentuk operasi dan rondaan semasa di perairan negara yang melibatkan hampir semua agensi utama seperti Tentera Laut, Tentera Udara, Pasukan Polis Marin, Unit Udara Polis, Jabatan Perikanan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Laut, Jabatan Kastam dan Imigresen.

Namun kelonggaran koordinasi di antara agensi yang terlibat menyebabkan sempadan negara sama ada di darat dan perairan begitu bolos sehingga PATI amat mudah menyelinap masuk tanpa disedari dan dikesan oleh pihak berkuasa.

Tugas untuk membanteras PATI diserahkan kepada Pasukan Polis Marin, Tentera Laut, Jabatan Imigresen, namun hanya Pasukan Polis Marin dan Tentera Laut yang mempunyai kawasan yang termaktub di dalam Arahan 14 Majlis Keselamatan Negara yang menetapkan Wilayah Perairan Malaysia terletak di bawah kuasa pasukan Polis Marin dan Zon Ekonomi Eksklusif di bawah potfolio Tentera Laut.

Arahan 14 tersebut jelas memberi kuasa kepada pasukan Polis Marin mengawal perairan negara dalam usaha untuk menguatkuasakan Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155)

Walaupun soal ini melibatkan Jabatan Imigresen, tetapi kekurangan logistik terutama aset yang bersifat maritim (Maritime Oriented) menyebabkan Jabatan Imigresen bagaikan lelaki lumpuh di kerusi roda, menunggu untuk diuruskan atau disuap!

Kejadian penculikan 09 orang rakyat Malaysia dan 12 orang warga asing di Pulau Sipadan pada 23 April 2000 oleh enam orang gerila Abu Sayyaf yang bersenjatakan AK-47 dan Bazooka bukanlah peristiwa mengejutkan kerana konco-konco lanun dan gerila berhaluan kiri di Filipina bebas keluar masuk ke Semporna terutama ketika 'PESTA LEPA-LEPA'.

Bagaimanapun penubuhan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) terutama bagi Daerah Maritim Sandakan (DM 17) bagaikan menjenamakan semula Tentera Laut di-Raja Malaysia (TLDM) kerana hampir semua anggota, logistik dan budaya kerja diwarisi daripada TLDM.

Saya berminat untuk mengulas operasi APMM di Sandakan pada jam 11.15 pagi, 6 November 2007 di posisi 5º 49’ 69” U dan 118º 07’ 82” T ke atas sebuah bot penumpang yang bernombor SSK 00304SP.

Walaupun bot berkenaan mempunyai lesen yang sah LC SSK 2007/15077, namun bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Sub Kaedah 9 (1) kaedah-kaedah Bot 1953 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 484 Ordinan Perkapalan Saudagar No. 17/1952 kerana membawa lebihan penumpang seramai lapan orang iaitu 20 orang berbanding kapasiti dibenarkan 12 orang.

Mengikut laporan polis, SDK/RPT/12908/2007 yang dibuat Penguat kuasa Maritim, Mohd Nazry Abdullah pada jam 3.37 petang, 6 November 2007 seperti berikut;

"Saya LK Maritim Mohd Nazry Bin Abdullah No. KP 770927-12-5863 yang bertugas di kapal Maritim Labas terlibat dalam operasi Sejahtera diarahkan untuk membuat pemeriksaan ke atas sebuah bot penumpang yang bernombor SSK 00304SP pada jam 1115 H. Bot penumpang diperiksa di atas posisi 5º 49’ 69” dan 118º 07’ 82” T ketika dalam perjalanan dari bandar Sandakan ke Tanjung Batu. Setelah diperiksa sembilan orang penumpang tidak mempunyai dokumen pengenalan yang sah.

Senarai penumpang seperti berikut;

01. Baharom Bin Nasang-22 tahun/Lelaki/Filipina

02. Nunan Binti Samad-27 tahun/Perempuan/Filipina

03. Suriayana Pasalangan-33 tahun/Perempuan/Filipina

04. Narawi Asakil-68 tahun/Lelaki/Filipina

05. Nasir Arasad-18 tahun/Lelaki/Filipina

06. Kuratu Klansiano-45 tahun/Lelaki/Filipina

07. Abidin Hamid-33 tahun/Lelaki/Filipina

08. Jauhari Julain-37 tahun/Lelaki/Filipina

09. Loging Sirun-24 tahun/Lelaki/Filipina

Penumpang yang tiada dokumen ditahan di bawah Akta Imigresen."

Namun amat malang kerana APPM hanya mampu menangkap dan menyerahkan pendatang asing ini kepada Jabatan Imigresen yang akhirnya membebaskan mereka tanpa bicara?

RAPUH....Salinan dokumen di atas memberikan jawapan yang kita cari selama ini iaitu betapa rapuhnya sistem pertahanan negara kita.

Lebih mengejutkan penglibatan Mahkamah Anak Negeri, Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, Pejabat Perdana Menteri dan Bahagian Penempatan Jabatan Ketua Menteri Sabah yang mengeluarkan dokumen pengesahan kepada pendatang asing tanpa izin ini seolah-olah undang-undang hanya menjadi aksesori.

Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Ahmad Bin Haji Yaacob melalui surat yang bertarikh 18 September 2003 memaklumkan kepada Haji Jeffridin Haji Atan, Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri berhubung permohonan pas kerja seorang pendatang asing, Narawi Asakil, 68 tahun, yang dipohon melalui Pengerusi JKKK Haji Agay Sakati sedang diproses oleh Setiausaha Bahagian Imigresen dan Pendaftaran Negara, Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan selanjutnya.

Manakala Pegawai Penyiasat Jenayah Sandakan, Chief Inspektor Majari Awal Jari pada 24 Julai 2005 telah mencatatkan ‘adalah diakui bahawa penama seorang nelayan’ di atas sekeping surat pengesahan Mahkamah Anak Negeri Semporna bahawa Aidin Hamid sebagai suku kaum Bajau Laut (Palau) yang tidak mempunyai kad pengenalan.

Pada pandangan saya jika Mahkamah Anak Negeri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Anak Negeri boleh mengesahkan status Pendatang Tanpa Izin yang dilunakkan dengan panggilan ‘Palau’, maka kerajaan tidak lagi perlu menubuhkan Jabatan Imigresen, Polis dan APMM.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Papar, Rosnah Abdul Rashid Shirlin bagaikan meludah ke atas langit dan terkena batang hidung sendiri apabila menggesa Kerajaan menutup kawasan Penempatan Pelarian di Kinarut dan menghantar pulang penghuninya ke negara asal mereka, Filipina.

MEMORANDUM......Memorandum ini telah dihantar kepadaPerdana Menteri dan Istana Negara. Perhatikan Cop Mohor Istana Negara!

Mantan Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (Cash), Datuk Patrick Sindu menyifatkan Rosnah bagaikan orang yang tertidur selama 3 tahun dan terbangun kerana terkena tempias dan desakan rakyat agar Kerajaan melakukan sesuatu bagi memastikan dia tidak ditolak oleh rakyat pada pilihan raya akan datang.

“Tahukah Rosnah bahawa dia tidak tahu apa yang dia cakap? Tahukah dia bahawa Pusat Penempatan Pelarian di Seluruh Sabah sudah ditutup sejak UNHCR menutup operasinya di Sabah sekitar 80-an lagi?” ujar Patrick yang menyifatkan kenyataan Rosnah berbau politik.

Patrick menjelaskan, walaupun Rosnah memenangi kerusi Parlimen Papar tanpa bertanding, namun Rosnah ‘bersubahat’ dengan melindungi Pendatang Tanpa Izin yang mendiami Pusat Penempatan Pelarian Kinarut yang sebelum ini sebagai Tanah Simpanan Bumiputera Kampung Kinarut Laut dan kini dimiliki oleh Majlis Agama Islam Sabah (MUIS).

“Kenapa sekarang baru mahu menyuarakan bantahan? Bukankah isu ini terabai sejak 1980 sebaik sahaja Selatan Mindanao dijamin selamat oleh UNHCR? Apakah kerana Beliau tidak akan dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Papar kerana prestasinya yang merosot atau kerana ada agenda tersembunyi,” ujar Patrick yang telah beberapa kali menyatakan bantahan rasmi kepada Rosnah dan Adun Kawang, Gulam Haidar Khan Bahadar berhubung isu ini, namun tidak ada sebarang jawapan atau ulasan rasmi.

Patrick sebaliknya memuji keberanian Rosnah menongkah arus ketika berada di ambang gelinciran pengaruh disebabkan meningkatnya kadar jenayah yang disumbangkan pusat haram ini.

UNCHR.....Pusat penempatan Pelarian Kinarut terletak di atas tanah MUIS dan tanah simpanan bumiputera.

“Saya ingin bertanya kepada Pengerusi MUIS, apakah beliau turut bersubahat memelihara dan melindungi pendatang asing yang tinggal secara ‘izin’ di tanah MUIS ini? Sepatutnya, MUIS mengambil tindakan Writ Pemilikan daripada mahkamah untuk menghalau keluar mereka ini?”, ujar Patrick yang kesal kerana MUIS mengabaikan isu keselamatan negara dengan melindungi pendatang tanpa izin (harbouring illegal).

Sehubungan itu, Patrick menggesa rakyat Sabah menandatangani Referandum yang boleh didapati di pejabat beliau bagi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

“Rosnah juga patut menandatanganinya dan menggalakkan rakyat menandatangani Referandum ini jika beliau benar-benar ingin melihat Papar bebas daripada sarang PATI, Syabu dan jenayah,” gesa Patrick yang tidak yakin Rosnah akan menandatangani referendum berkenaan.

...........Bersambung di Episod IV

No comments:

Post a Comment