Monday 26 March 2012

KLINIK SWASTA BANTU SEDIAKAN RAWATAN 'DOT'

KEMENTERIAN Kesihatan merancang untuk meluaskan kaedah 'Directly Observed Treatment' (DOT) untuk merawat penghidap penyakit batuk kering (TB) ke klinik swasta tidak lama, kata menteri berkenaan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, kementerian itu sedang berunding dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) untuk mendapatkan penyertaan doktor swasta sebagai penyelia DOT untuk penghidap penyakit TB.

DOT merupakan kaedah yang memerlukan khidmat pemberi penjagaan secara terus bagi memastikan penghidap TB mematuhi rawatan perubatan selama enam hingga sembilan bulan untuk menjamin mereka sembuh sepenuhnya.

“Pesakit kami perlu mematuhi rancangan rawatan. Jika mereka tidak mematuhinya, penyakit mereka akan berterusan dan meningkatkan risiko menyebarkan penyakit ini kepada orang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari TB Sedunia 2012 di sini, kelmarin.

Pematuhan pesakit terhadap rawatan sangat penting untuk menyembuhkan penyakit itu, yang kini merupakan penyebab nombor satu kematian dalam kalangan semua penyakit berjangkit dilaporkan di negara ini.

Beliau berkata, sekiranya tidak mendapatkan rawatan, seseorang penghidap penyakit batuk kering boleh membawa jangkitan kepada 10 hingga 15 orang setahun.

Katanya, dalam usaha membasmi penyakit ini, lebih banyak kemudahan kesihatan telah disediakan untuk tujuan diagnosis dan rawatan agar mereka yang menghidapnya mudah dikesan dan diberi rawatan sejak awal lagi.

Beliau berkata, kerjasama antara kementerian itu dengan badan bukan kerajaan (NGO) juga dipertingkatkan untuk memupuk kesedaran orang ramai tentang penyakit berkenaan bagi mencapai sasaran kerajaan untuk membasminya menjelang 2050.

Di samping itu, Liow berkata, kerajaan membenarkan pesakit TB yang tidak mempunyai pemberi penjagaan mendapatkan rawatan di wad hospital kerajaan, manakala pesakit yang tidak mematuhi program rawatan pula, boleh dikuarantinkan.

Beliau berkata, kini kadar pesakit TB yang berjaya disembuhkan ialah 80 peratus dan kementerian itu berharap kadar ini dapat ditingkatkan kepada 85 peratus.

Jumlah kes batuk kering di negara ini meningkat tujuh peratus tahun lepas, apabila 20,666 kes dilaporkan, berbanding 19,337 pada 2010.

Liow berkata, peningkatan ini adalah hasil pemeriksaan lebih meluas dan pelaksanaan mekanisme pengesanan, yang juga membolehkan penghidap penyakit itu diberi rawatan sejak awal lagi.

Kata beliau, ia juga berpunca daripada peningkatan kes jangkitan HIV serta kencing manis, manakala 10 peratus daripada kes TB yang dilaporkan di negara ini, melibatkan warga asing. (ST)

No comments:

Post a Comment