Monday 12 March 2012

LEBIH 40 KILANG DAN KEDAI DIPERIKSA

LEBIH 40 buah melibatkan kilang dan kedai di sekitar daerah ini telah diperiksa oleh Bahagian Penguatkuasa Majlis Daerah Lahad Datu, sepanjang melaksanakan Ops Majlis Kutu Sampah Dan Lesen, bemula sejak Jumaat lepas sehingga kelmarin.

Ketua Bahagian Penguatkuasa MDLD, Aliudin Miasin memberitahu antara tumpuan operasi yang dijalankan adalah di sekitar jalan Segama.

“Sepanjang tempoh ops tersebut dilaksanakan, kita telah mengeluarkan sebanyak sebelas keping saman kepada premis yang didapati mengotorkan sekitar kedai dan kilang perniagaan mereka.

“Malah, sebuah bengkel membaiki kereta yang beroperasi di halaman rumah dekat Batu 3 Jalan Segama juga telah diarahkan tutup apabila beroperasi tanpa sebarang lesen,” katanya.

Dalam pada itu, Aliudin menasihatkan orang ramai terutama para peniaga termasuk pengilang yang menjalankan perniagaan mereka agar memastikan lesen berniaga mereka juga telah diperbaharui.

“Bagi kilang-kilang yang beroperasi dengan menggunakan minyak yang mudah terbakar dan minyak yang menghasilkan bau, adalah dikehendaki memohon lesen ‘Dangerous and Offensive Trade’,” katanya.

Menurut beliau lagi, mereka yang didapati melanggar syarat-syarat kerajaan boleh dikenakan tindakan di bawah Ordinance Kerajaan Tempatan 1961 Undang-Undang Kecil Seragam 2010, Section 10 (1) dan boleh dihadapkan ke mahkamah.

“Jika sabit kesalahan boleh di denda RM20,000, atau penjara tak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Sementara itu kata Aliudin, pihaknya kini akan terus memberi tumpuan dan perhatian di sekitar kawasan Segama dan sebaik sahaja Ops di kawasan tersebut selesai dijalankan, operasi akan beralih di kawasan lain termasuk lokasi kawasan Dam.

5 comments:

  1. Kita harus menjaga kebersihan, amalan tu harus sentiasa diterapkan dalam kehidupan kita sehari-hari.

    ReplyDelete
  2. kebersihan kenalah dijaga, ia amalan yang mulia.

    ReplyDelete
  3. Utamakan kebersihan. Semoga MDLD akan meneruskan usaha bagi memastikan setiap pemilik kedai dan kilang akan mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan.

    ReplyDelete
  4. syabas.. jangan tunduk dengan mana2 premis, syarikat atau kilang yang beroperasi tanpa mematuhi piawaian atau peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan..

    ReplyDelete
  5. Denda haruslah dikuatkuasakan dengan ketat dan tegas agar pemilik kilang dan kedai tidak memandang remeh soal kebersihan.

    ReplyDelete