Friday 23 March 2012

LYNAS AKAN DITUTUP JIKA ADA BUKTI SAINTIFIK



Oleh : KUEK SER KUANG KENG

KERAJAAN tidak akan membenarkan projek nadir bumi di Gebeng, Kuantan, beroperasi sekiranya terdapat bukti saintifik menunjukkan ia menjejaskan kesihatan dan merosakkan alam sekitar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kita tidak akan sekali-kali berkompromi dalam isu ini. Kesihatan rakyat Malaysia tidak akan dikompromikan," katanya dalam wawancara dengan radio 988 yang disiarkan secara langsung kelmarin.

Katanya, kerajaan perlu berdialog dengan pihak yang menentangnya tetapi ia mesti dilaksanakan berdasarkan bukti saintifik dan bukannya hujah emosi dan politik.

"Isu alam sekitar sudah menjadi isu politik, ini malang sekali," katanya.

Beliau ditemubual oleh DJ Sam Mak dan Tan Yi Hui dalam program 988 Street VIP selama satu jam.

Sementara itu, Bernama melaporkan Najib berkata dialog seperti itu tidak boleh berdasarkan emosi atau hujah politik kerana ada kemungkinan isu Lynas ini digunakan untuk tujuan politik.

"Apa yang bermula hanya sebagai satu isu alam sekitar telah menjadi isu politik. Ini amat mengecewakan. Kita perlu adakan dialog ini dan melibatkan orang ramai sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad. Tapi saya boleh memberi jaminan kepada rakyat bahawa keselamatan mereka tidak sekali-kali akan dipertaruhkan," katanya.

Perdana Menteri berkata pembentukan Jawatankuasa Plihan Khas Parlimen mengenai Lynas bertujuan melihat langkah-langkah yang kerajaan boleh ambil bagi menangani sebarang kebimbangan rakyat.

Ketika ditanya sama ada perakuan jawatankuasa itu akan dilaksanakan, beliau berkata : "Kita mahukan bukti saintifik, dan jawatankuasa ini adalah satu daripada kaedahnya. Adalah diharapkan satu penilaian objektif mengenai projek ini dapat dibuat.

"Yang pasti ialah terdapat satu tanggungjawab moral yang kuat, namun kita tidak terikat dengannya dari segi undang-undang, tetapi akan dijadikan asas kukuh untuk kita membaut keputusan," katanya.

Menjawab soalan pendengar tentang kekurangan guru bahasa Mandarin di sekolah Cina, Najib berkata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong telah diberi tanggungjawab mengadakan dialog untuk merangka cadangan bagi menyelesaikannya.

Menurut beliau, Wee telah mengemukakan cadangan kepada timbalan perdana menteri yang juga menteri pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan secara prinsipnya, cadangan itu telah diterima.

"Kini, terserahlah kepada kami untuk memastikan cadangan itu dilaksanakan dengan segera dan secara berkesan...(kami) akan melaksanakannya...dan walaupun ia mungkin mengambil sedikit masa, kami akan pastikan masalah ini dapat diselesaikan secara muktmad.

"Contohnya, kami telah membuat keputusan untuk memberi kuasa kepada guru besar untuk melantik guru sementara secara terus agar kekosongan yang ada, boleh diisi.

"Kami juga memutuskan bahawa guru yang tidak boleh berbahasa Mandarin, guru kaunseling contohnya, perlu ditukar dan digantikan dengan guru kaunseling yang tahu berbahasa Mandarin," katanya.

Najib berkata itu adalah antara beberapa contoh tentang perancangan menyeluruh yang dilakukan kerajaan termasuk mengenal pasti keperluan melatih lebih ramai guru yang tahu berbahasa Mandarin untuk mengisi kekosongan yang berlaku.

Beliau juga menyentuh tentang keperluan mengadakan sistem pengangkutan awam yang cekap untuk mengatasi kekesakan lalu lintas di Kuala Lumpur, yang kata beliau, akan "menjadi semakin teruk".

Perdana Menteri berkata mereka yang bimbang tentang pelaksanaan projek MyRapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang, terutama pemilik harta di sepanjang Jalan Sultan, sebenarnya tidak menentang projek itu.

"Apa yang mereka mahu daripada kerajaan ialah rumah kedai mereka tidak akan terjejas olehnya dan saya telah beri jaminan kepada mereka tentang hal itu dan kita akan melakukan segala yang mungkin untuk memulihara lot kedai berkenaan.

"Malah, kita sedia mengisytiharkan rumah kedai ini sebagai bangunan warisan kerana adalah juga penting bagi kita untuk memulihara sejarah dan warisan kita," katanya.

Mengenai Skim Rumah Pertamaku, Najib berkata beratus-ratus permohonan sedang diberi pertimbangan oleh bank manakala kerajaan akan memberi lebih banyak kemudahan kepada pembeli rumah melalui pelbagai langkah penambahbaikan.

Najib, yang juga menteri kewangan, berkata Malaysia menjangka dapat mencatat pertumbuhan ekonomi antara 4.5 dan 5 peratus pada tahun ini.

"Kita yakin dapat mencapai kadar pertumbuhan itu pada tahun ini, yang merupakan suatu pencapaian baik. Ini kerana terdapat momentum yang secukupnya serta adaya tahan dalam ekonomi domestik.

"Ini adalah hasil daripada projek dan ETP (Pelan Transformasi Ekonomi) dan disebabkan usaha kita untuk meningkatkan pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing, perbelanjaan kerajaan juga meningkat, tetapi penggunaan awam dan swasta membantu dan memberi rangsangan yang cukup kuat untuk memenuhi permintaan domestik.

"Perkara yang tidak dapat saya lakukan ialah mengawal faktor luaran. Sekiranya faktor luaran ini menjadi bertambah baik, maka kita akan lebih berjaya," kata Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment