Thursday 6 September 2012

GENG ‘PENGETUK TINGKAP KERETA’ TUMPAS




LARI....Seorang kanak-kanak cuba melarikan diri untuk mengelak daripada dicekup pihak penguatkuasa DBKK.

KOTA KINABALU: Sekumpulan geng kanak-kanak ‘Pengetuk Tingkap Kereta’ antara yang ditahan dalam operasi bersepadu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini malam Isnin lepas.

Geng berkenaan yang dianggotai empat kanak-kanak warga Filipina tanpa sebarang dokumen sah itu dipercayai terlibat dalam kegiatan meminta sedekah di sekitar ibu negeri dan kelihatan bergiat aktif sepanjang bulan Ramadan lalu.

Difahamkan, kesemua kanak-kanak berusia lingkungan 10 hingga 12 tahun terbabit diperalatkan oleh sindiket tertentu ekoran aktiviti mereka mampu mencapai kutipan sebanyak RM50 sehari setiap seorang.

Mereka yang dipercayai berasal dari Pulau Gaya itu dikatakan sanggup menaiki bot dengan tambang semurah RM0.40 semata-mata mengaut untung untuk aktiviti berkenaan.

Ketika operasi dilakukan, ada kanak-kanak yang sanggup berlari berkaki ayam sehingga 100 meter serta mempertaruhkan nyawa merempuh kesesakan lalu lintas bagi mengelak dicekup.

Salah seorang daripada kanak-kanak terbabit dikenali Aren, 11, mendakwa mereka bergerak secara berkumpulan seramai 20 orang termasuk pengemis dewasa menggunakan bot ke pusat bandaraya ini.

Menurut Penguatkuasa Kanan DBKK, Supritendan Ernest Majikon, operasi tersebut dilaksanakan selepas banyak mendapat aduan orang awam termasuk pelancong yang kelihatan tidak selesa dengan kegiatan meminta sedekah itu.

“Sebanyak enam tangkapan dilakukan termasuk dua kanak-kanak perempuan yang bertindak mengemis dan menjual rokok-rokok haram di bandaraya ini.

“Turut ditahan seorang lelaki berusia 40an yang disyaki menggunakan kad pengenalan tentera yang dicuri yang secara tiba-tiba memasuki perkarangan dewan di DBKK bagi melihat kesemua kanak-kanak yang ditangkap dalam serbuan ini,” katanya.

Ernest tidak menolak kegiatan itu didalangi sindiket tertentu yang mempergunakan kanak-kanak itu untuk meminta sedekah dan akan membuat siasatan lanjut mengenainya.

“Kesemua kanak-kanak termasuk lelaki terbabit akan diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan susulan,” katanya.

Operasi yang berlangsung selama dua jam itu turut melibatkan seramai 35 anggota penguatkuasa termasuk DBKK, polis dan imigresen.

“Kita akan melaksanakan operasi ini dari masa ke semasa berdasarkan aduan orang ramai terhadap kegiatan kanak-kanak terlibat dalam aktiviti meminta sedekah di ibu negeri,” katanya. (UB)

No comments:

Post a Comment