Friday 21 September 2012

PERSIDANGAN UMNO, ANJAK PRU KE 2013





Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Persidangan Agung Umno 2012 akan diadakan pada 27 November hingga 1 Disember depan dan pengumuman itu menunjukkan kemungkinan pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan dilaksanakan tahun depan.

Najib yang juga Presiden Umno mengumumkan tarikh persidangan tersebut selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Ibu Pejabat parti itu di sini.

“Majlis Tertinggi (Umno) menetapkan persidangan Agung Umno bagi tahun 2012 akan dilaksanakan bermula pada 27 November hingga 1 Disember 2012,” kata Najib kepada pemberita kelmarin.

Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali meramalkan Najib akan mengadakan PRU selepas Tahun Baru Cina untuk memanfaatkan perayaan tersebut bagi memenangi kembali undi masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN).

Menurut Ibrahim, PM tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya memandangkan belanjawan juga hanya akan dibentangkan pada 28 September.

“Pertama, tidak ada keperluan untuk Datuk Najib mengadakan pilihan raya tergesa-gesa pada bulan November.

“Kerana fokus dia terhadap beberapa perkara masih belum lagi selesai, contohnya bajet, tentu bajet kali ini, dia nak bentang bukan sahaja yang bagus kerana pilihan raya nak datang, tetapi dia nak tengok juga selepas dia bentang tu, ada kesempatan masa untuk rakyat merasai bahawa bajet itu betul-betul bagus,” kata Ibrahim kepada The Malaysian Insider dalam sebuah temuramah eksklusif.

Presiden Perkasa itu juga mengatakan tidak masuk akal pilihan raya diadakan November ini kerana umat Islam baru pulang mengerjakan haji, bulan peperiksaan bagi pelajar sekolah dan musim tengkujuh.

“Saya dengar SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) ada kerja-kerja administratif yang belum selesai, perlukan lebih masa.”

The Malaysian Insider bagaimanapun sebelum ini turut melaporkan bahawa BN mensasarkan untuk mengadakan pilihan raya mengejut pada bulan November, 60 hari selepas Bajet 2013 dibentangkan, sejurus selepas Najib dalam satu majlis memberikan isyarat dengan mengulangi perkataan 11, yang mana merupakan nombor kegemarannya.

Jelas satu sumber, difahamkan bahawa pegawai kementerian pelajaran telah diminta untuk memeriksa kesediaan sekolah, terutamanya sekolah menengah kerana pada waktu itu kebiasaannya peperiksaan bagi pelajar tingkatan lima dan enam sedang dijalankan.

“Kerajaan sedang melihat pada akhir November, hanya selepas penerbangan yang terakhir membawa pulang jemaah Haji pada 19 November,” kata seorang ahli strategi BN kepada The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment