Wednesday 19 September 2012

TINGKATKAN BILANGAN RAKYAT MILIKI PhD




SINTOK : Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Selasa menyuarakan hasrat baginda yang ingin melihat lebih ramai rakyat negara ini berkelulusan ijazah Doktor Falsafah (PhD) sambil menyeru parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) menjadikannya sebagai agenda utama.

"Berbanding sibuk berpolitik, lebih bermanfaat kepada negara jika parti politik dan NGO menjadikan ini sebagai agenda utama mereka.

"Kesedaran perlu diberikan di peringkat kanak-kanak betapa pendidikan boleh mengubah mundur, miskin, hina seseorang dan betapa penting menguasai bahasa Inggeris dan celik Sains serta Matematik," titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-25 Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.

Untuk menjayakan hasrat melahirkan lebih ramai graduan PhD, Tuanku Abdul Halim bertitah semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan dan parti politik supaya memainkan peranan itu.

Baginda bertitah kebanyakan individu yang mempunyai kelulusan PhD kini berada di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

"Data Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan bilangan staf yang mempunyai PhD di IPTA dan IPTS kini sekitar 7,800 orang, manakala yang memiliki sarjana pula sekitar 20,000 orang," titah baginda

Terdahulu, baginda berkenan menyampaikan Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pingat Emas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Anugerah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) kepada graduan yang cemerlang. (Bernama)

No comments:

Post a Comment