Friday 14 September 2012

WARGA BEAUFORT SAMBUT MERDEKARAYA



  
Oleh: KREW SABAHKINI.NET

KETUA Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman akan menjadi tetamu kehormat Majlis Rumah Terbuka Merdeka Raya warga Parlimen P.177 Beaufort yang menetap di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya yang akan diadakan di Dewan SESB Karamunsing di sini pada 19 September ini bermula pada jam 7.00 malam sehingga 11.00 malam.

Pengerusi penganjurnya, Zahari Zinin berkata, majlis itu bagi memberi peluang kepada warga dari Parlimen Beaufort yang membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan Kuala Penyu yang berada di Kota Kinabalu dan sekitarnya berkumpul dan beramah mesra bersama-sama bagi merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri di samping merayakan sambutan Hari Kemerdekaan.

"Ini satu peluang bagi warga yang terlibat bertemu selain saling kenal mengenali dalam suasana yang mesra. Jadi bagi warga Parlimen Beaufort yang tinggal di Kota Kinabalu dan kawasan berhampiran bolehlah meluangkan masa untuk membawa keluarga masing-masing," katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

Zahari yang juga Bendahari Umno Bahagian Beaufort, berkata kehadiran mereka akan dapat memeriahkan lagi majlis tersebut.

Menurutnya, mereka yang hadir juga akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik bagi cabutan tiket bertuah selain pihak penganjur turut menyediakan duit raya kepada kanak-kanak yang dibawa bersama oleh keluarga mereka.

Beliau menambah majlis yang serupa bagi warga Parlimen Beaufort yang menetap di Wilayah Persekutuan Labuan akan diadakan di Dewan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 17 September ini.

"Mereka yang bertugas dan tinggal di pulau itu dijemput hadir beramai-ramai ke majlis berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment