Friday 12 October 2012

1,029 KUOTA TUKANG MASAK DILULUS





Oleh : RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Sebanyak 1,029 kuota bagi tukang masak warga asing telah diluluskan Jabatan Imigresen di seluruh Sabah setakat ini. Daripada jumlah berkenaan, warganegara India adalah terbanyak dengan 841 kuota berbanding warganegara lain yang dibenarkan bekerja di negeri ini.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Mohammed Mentek, berkata menerusi semakan pihaknya sebanyak 505 buah restoran yang dibuka seluruh negeri, 1,029 kuota telah diluluskan.

Jelas beliau, untuk pengambilan tukang masak sebenarnya para majikan boleh memohon untuk menggaji mana-mana warga asing dari seluruh negara.

“Warganegara India merupakan jumlah tertinggi dengan 841 kuota berbanding Indonesia sebanyak 67, Thailand (39), China (31), Pakistan (25), Korea (13), Filipina (7) dan Hong Kong sebanyak dua kuota.

“Manakala bagi Sri Lanka, Kemboja, Syria dan Taiwan masing-masing satu kuota telah diluluskan,” katanya.

Mohammed berkata demikian ketika mengulas isu yang diutarakan oleh Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim (DPPIMS) Datuk Baisul Khan, mengenai kekurangan pekerja di premis restoran India dan Cina.

“Menerusi statistik berkenaan, saya menafikan bahawa di Sabah kekurangan pekerja terutamanya dari warganegara India berdasarkan jumlah yang disebutkan tadi.

“Bagaimanapun, pihak Imigresen akan turun padang memantau mereka yang menggaji warga asing sebagai tukang masak bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan pas kerja mereka.

“Ini kerana ada dakwaan mengatakan terdapat warga asing yang mempunyai pas kerja sebagai tukang masak tetapi bertugas sebagai pengurus, pelayan dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, pada 2 Mei lepas Mohammed mendedahkan Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh maksimum Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) ke lima tahun lagi.

“Sepertimana had tempoh lima tahun yang diberikan, Kerajaan Negeri telah bersetuju lanjutan terbabit yang membawa kepada lima tahun lagi (5+5) bagi PLKS pekerja asing bagi semua sektor kecuali perkhidmatan.

“Kerajaan Negeri turut bersetuju meluluskan dua lagi negara sumber pekerja asing iaitu dari negara Nepal dan Myanmar yang terbuka kepada semua sektor kecuali perkhidmatan,” jelasnya. (UB)

No comments:

Post a Comment