Oleh : MOHD RAZMAN ABDULLAH
PIHAK berkuasa Lubnan telah
menahan dua warga Malaysia kerana dipercayai menjadi pengebom berani mati dan disyaki
mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.
Kedua-dua suspek berusia 21
dan 28 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut.
Duta Malaysia ke Lubnan,
Ilango Karuppannan, ketika dihubungi Bernama malam ini, mengesahkan kedua-dua
lelaki itu ditangkap beberapa hari lepas tetapi tidak dapat mengesahkan tarikh
sebenar tangkapan itu.
Menurutnya pihak kedutaan
hanya mengetahui mengenai tangkapan tersebut kelmarin.
"Mereka ditahan kerana
disyaki mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda. Mereka akan dibawa ke mahkamah
Isnin ini dan di sana kami akan meminta sama ada mereka memerlukan
peguam," katanya.
Ilango berkata pejabatnya
telah memberitahu Wisma Putra mengenai kes itu supaya ia boleh memaklumkan
kepada keluarga suspek yang ditahan itu.
Pada Khamis lepas, akhbar
Lubnan, Al-Joumhouria' memetik sumber pihak keselamatan sebagai berkata warga
Malaysia itu ditahan oleh pasukan perisikan tentera atas dakwaan menjadi
anggota kumpulan pengganas.
Siasatan mendapati dua
lelaki Malaysia itu direkrut ke dalam Al-Qaeda oleh seorang lagi rakyat
Malaysia sebelum dibawa ke Yemen di mana mereka menemui anggota lain kumpulan
itu.
Al-Joumbouria berkata dua
bulan lalu, kedua-dua suspek Malaysia itu cuba memasuki Syria menerusi Turki
atas misi jihad bagi melakukan serangan berani mati.
Rancangan serangan itu
diselaraskan oleh seorang lelaki yang dikatakan bertanggungjawab atas kemasukan
semua anggota jihad ke Syria, menurut akhbar itu.
Akhbar itu melaporkan bahawa
apabila dua warga Malaysia gagal memasuki Syria, mereka mengambil keputusan
untuk pergi ke Lubnan bagi melakukan serangan pengganas tetapi aktiviti mereka
dihidu oleh perisikan tentera.
Selepas dikesan, warga
Malaysia itu ditahan dan siasatan menunjukkan mereka bercadang menghubungi
seorang individu di Lubnan untuk menyelaras komplot serangan di negara itu. (Bernama)
No comments:
Post a Comment